Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Rumah Terbuka Aidilfitri antara majlis rasmi dibatalkan - KSN

Lima majlis rasmi kerajaan tahun ini dibatalkan susulan keadaan semasa negara yang sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali dalam kenyataan memaklumkan pembatalan itu melibatkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong yang dijadual pada 24 Mei atau 1 Syawal ini (tertakluk kepada pengisytiharan tarikh Aidilfitri oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja).

Turut dibatalkan ialah Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri yang juga dijadual pada 24 Mei ini atau 1 Syawal.

Tiga lagi sambutan yang turut dibatalkan ialah acara-acara sempena sambutan Hari Pahlawan pada 12 hingga 14 Ogos ini, Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan pada 19 dan 20 Ogos serta Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan pada 29 Okt.

Bagaimanapun, beliau berkata, sebarang pindaan kepada penganjuran acara dan majlis rasmi kerajaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

- Bernama