Pengurusan 1MDB gelar PSI ‘projek menyakitkan hati’ - saksi
Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini diberitahu bahawa pengurusan 1MDB menggelar PetroSaudi International (PSI) sebagai ‘satu projek yang menyakitkan hati atau menjengkelkan.’
Perkara ini didedahkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 50, semasa disoal balas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengenai “Projek PITA.”
Saksi kesembilan pendakwaan itu berkata ia adalah satu lelucon dalam kalangan pengurusan 1MDB.
Shahrol Azral: 'P' bermaksud PSI manakala 'ITA' bermaksud menyakitkan hati atau menjengkelkan (dalam bahasa Inggeris) kerana projek itu memang menyakitkan hati atau menjengkelkan.
Muhammad Shafee: Jadi pada dasarnya, PITA adalah satu lelucon bahawa PetroSaudi adalah ‘menyakitkan hati atau menjengkelkan?
Shahrol Azral: Ya.
Muhammad Shafee: Itu adalah projek … yang menyakitkan hati atau menjengkelkan?
Shahrol Azral: Ya, untuk menghantar balik dana daripada PSI.
Muhammad Shafee: Mengapa ia menjadi lelucon dalam kalangan pengurusan memandangkan ia menyakitkan hati, adakah kerana anda menganggapnya begitu?
Shahrol Azral: Ia menyakitkan hati kerana kami terpaksa berhati-hati kerana ia adalah sensitif … Jadi kami tidak boleh meneruskannya hanya atas dasar komersial tanpa pengetahuan lembaga pengarah dan saya rasa dana ini adalah satu isu sensitif yang perlu kami uruskan dengan berhati-hati dan kami perlu meminta pandangan Datuk Seri Najib.
Kepada soalan lain, saksi itu berkata tiada sesiapa dalam kalangan Lembaga Pengarah 1MDB yang tahu mengenai gelaran ‘PITA’ itu.
Shahrol Azral juga bersetuju dengan peguam itu bahawa terdapat satu lagi projek yang digelar sebagai ‘Magnolia’ namun beliau tidak tahu apa yang dimaksudkan kerana nama itu diberikan dan digunakan oleh Goldman Sachs.
Saksi itu juga bersetuju dengan Muhammad Shafee bahawa tiada kertas kerja dan pembentangan dibuat mengenai ‘Projek PITA’ kepada lembaga pengarah.
Shahrol Azral berkata peguam 1MDB ketika itu, Jasmine Loo, sepatutnya membuat pembentangan mengenai projek tersebut kepada lembaga pengarah.
“Tiada kertas kerja mengenai Projek PITA yang dibentangkan kepada lembaga pengarah,” katanya.
Najib, 67, berdepan empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion membabitkan dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung pada 4 Jun.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai