Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

K’jaan PH jauh lebih baik daripada BN dan PN - Anwar Ibrahim

Berbanding dengan kerajaan BN dan Perikatan Nasional, Anwar Ibrahim berkata pentadbiran Pakatan Harapan adalah jauh lebih baik dalam melaksanakan reformasi institusi.

Berikutan kejatuhannya selaku kerajaan persekutuan, ketua PH itu berkata mereka kini tekad untuk bangun semula dan melakukan sesuatu yang lebih baik.

Dalam sesi secara langsung di Facebook hari ini, Anwar berkata bahawa kerajaan BN sebelum ini terkenal dengan amalan rasuah dan juga kurangnya kebebasan dalam bidang kehakiman dan akademik.

“Kita tidak senang dengan rampasan kuasa, pengkhianatan PN.

“Kita merasakan mereka (PH) ini lebih parah, kerana kerja mereka dalam keadaan pengangguran sudah mencecah ratusan ribu, harga barang dan inflasi melonjak naik. Apa yg mereka lakukan? Agih kekayaan dan kuasa dan kedudukan satu demi satu.

“Ini ghanimah harta seolah-olah rampasan dalam peperangan dia bahagikan. Ini ternyata sangat buruk dan merosakkan sistem dan pemikiran pimpinan,” katanya.

Sebaliknya, menurut Anwar, pemerintah PH telah memperkenalkan reformasi institusi tetapi mengakui bahawa lebih banyak yang sepatutnya dilakukan sepanjang 21 bulan kekuasaannya.

“Kelemahaannya ialah kerana kita menangguh beberapa keputusan yang kita patut tunaikan dengan baik.

“Dan juga keresahan rakyat terutama yg merasakan mereka tidak diberi pembelaan secukupnya.

“Tapi ini tidak boleh kita bandingkan dengan kedudukan BN ataupun PN kerana PH sebagai sebuah kerajaan telah memulakan beberapa perubahan institusi reform yang jauh lebih baik dari sebelumnya,” katanya.

Justeru, Anwar berikrar bahawa PH akan "kembali kepada titah perjuangannya".

“Apa kita perjuangkan? Kita mampu ganti hanya kerana tekad kita untuk membuat sesuatu yng lebih baik.

“Hanya dengan menolak rasuah. Dengan menolak (guna) kuasa itu untuk memperkayakan suku-sakat kita,” katanya.

Kerajaan PH tumbang pada bulan Februari lalu setelah perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan dan Bersatu bertindak meninggalkan gabungan itu.

Beberapa pemimpin Bersatu, termasuk presidennya, Muhyiddin Yassin bersama BN, PAS, GPS, STAR dan PBS, kemudian membentuk Perikatan Nasional. Muhyiddin kemudiannya dilantik menjadi perdana menteri.

PH kini dianggotai oleh PKR, Amanah dan DAP. Ia disokong oleh Warisan di Sabah.