Sambung bicara kes Najib dan Arul Kanda 15 Jun
Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menetapkan selama 15 hari bermula 15 Jun depan untuk menyambung perbicaraan kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 15 hingga 18 Jun, 27 hingga 30 Julai, 10 hingga 13 Ogos dan 24 hingga 26 Ogos untuk perbicaraan kes itu semasa sebutan di hadapannya hari ini.
Beliau turut mengingatkan pihak pendakwaan, yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Rozaliana Zakaria dan Nadia Zulkefli supaya menyediakan pernyataan saksi sekurang-kurangnya seminggu sebelum tarikh perbicaraan.
Ditanya berapa orang saksi lagi yang akan dipanggil memberi keterangan, Rozaliana berkata lima saksi pendakwaan masih belum disoal balas oleh pihak pembelaan dan 20 saksi lagi akan dipanggil memberi keterangan.
Najib diwakili peguam Nur Syahirah Hanapiah sementara Arul Kanda diwakili peguam Datuk N Sivananthan.
Setakat ini, seramai tujuh saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan termasuk bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Najib, 67, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya, manakala Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan ke atas laporan itu, untuk melindungi Najib daripada dikenakan tindakan.
Kedua-dua mereka didakwa mengikut peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai