Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

'MoU PN tiada ikatan undang-undang, hanya persefahaman masuk parlimen'

Memorandum Persefahaman (MOU) bagi membentuk Perikatan Nasional (PN) tiada ikatan undang-undang (legal binding), sebaliknya ia persefahaman untuk masuk ke Dewan Rakyat sebagai blok PN.

Naib Presiden Umno, Mahdzir Khalid berkata bagaimanapun sokongan BN dan parti lain di dalam gabungan itu adalah jelas menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

"Satu persefahaman yang tidak ada legal binding tidak terikat dengan undang-undang, ia merupakan satu persetujuan untuk masuk Parlimen sebagai PN.

"Ia hanya satu persefahaman bersama membabitkan parti gabungan (PN).

"Soal sokongan jelas, baik Umno/BN, PAS, GPS dan parti lain dalam PN telah menyatakan sokongan penuh kepada perdana menteri," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Memorandum tersebut ditandatangani oleh BN, Bersatu, PAS, GPS dan dua lagi parti dari Sabah.

Semalam, berdasarkan susunan kerusi di Dewan Rakyat, Muhyiddin mempunyai sokongan 113 MP.

Awal bulan ini, Majlis Tertinggi (MT) Umno menolak cadangan supaya parti itu menyertai gabungan PN secara rasmi, dikatakan bertujuan menjaga kedudukan dan kepentingan parti berkenaan.

Memorandum PN itu menyatakan gabungan itu akan memastikan pentadbiran yang baik di peringkat persekutuan dan negeri.

Dikatakan juga bahawa pihak PN akan meningkatkan semangat kerjasama antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia untuk mencapai matlamat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ditanya sama ada satu piagam akan dibentuk selepas kesemua parti dalam PN menandatangani perjanjian itu, Mahdzir berkata: "Tiada piagam dibentuk."

Mengulas mengenai soal agihan kerusi dalam pilihan raya umum akan datang antara parti komponen dalam PN, Mahdzir berkata ia akan dibincangkan kemudian.

"Perkara itu tidak berbangkit buat masa ini dan ia akan dibincangkan kemudian," jelasnya.