Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sinar Harian ditambah sebagai defendan dalam saman Lim terhadap bekas IGP

Akhbar Sinar Harian ditambah sebagai defendan dalam saman fitnah Lim Kit Siang terhadap bekas Ketua Polis Negara (IGP) Mohammed Hanif Omar, menurut peguam kepada veteran DAP itu.

Peguam Lim, Rayveni Asogan hari ini berkata Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Mac tahun ini membenarkan permohonan plaintif  menambahkan akhbar harian berbahasa Melayu itu sebagai defendan kedua dalam saman Lim terhadap Hanif.

Beliau berkata, permohonan itu difailkan pada awal Januari tahun ini.

"Kami diberi kebenaran untuk menambah Sinar Harian sebagai satu pihak dalam saman itu.

"Arahan itu dikeluarkan pada 11 Mac 2020. Permohonan (untuk menambah Sinar Harian sebagai defendan) telah difailkan pada Januari tahun ini," kata Reyvani.

Beliau berkata berikutan pengurusan kes saman berkenaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, mahkamah menetapkan 15 Julai untuk mendengar permohonan plaintif bagi meminda pernyataan tuntutan saman untuk menambahkan Sinar Harian sebagai defendan kedua.

Beliau menjelaskan pernyataan tuntutan saman tersebut belum dipinda, dan kertas kausa masih belum diserahkan kepada Sinar Harian.

Beliau juga berkata tarikh perbicaraan masih belum ditetapkan bagi mendengar saman berkenaan.

Sementara itu ketika dihubungi Malaysiakini, peguam Hanif, Muralee Menon mengesahkan perkara itu diputuskan dalam pengurusan kes hari ini.

Beliau mengesahkan mahkamah menetapkan 15 Julai untuk mendengar permohonan plaintif bagi meminda pernyataan tuntutan.

Beliau menambah bagi pihak Hanif selaku defendan, mereka akan mengemukakan bantahan terhadap permohonan meminda pernyataan tuntutan saman tersebut.

Lim mengemukakan saman fitnah pada 19 Oktober 2018 terhadap Hanif atas kenyataan mengenai penangkapan Lim yang dikaitkan dengan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Saman itu berkaitan artikel yang diterbitkan oleh Sinar Harian bertajuk 'Tun Hanif buat pendedahan DAP, PAS', yang diterbitkan pada 6 September tahun lalu.

Dalam artikel itu, Hanif mendakwa beliau mengarahkan penahanan Lim demi keharmonian negara semasa rusuhan perkauman 1969. 

Lim menggambarkan kenyataan Hanif itu sebagai mengarut.