Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kajian: Majoriti enggan buka pintu pada tetamu di Aidilfitri

Kajiselidik yang dijalankan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mendapati lebih 74 peratus daripada responden tidak mengalu-alukan tetamu pada hari raya Aidilfitri walaupun diberi kelonggaran oleh kerajaan.

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata kaji selidik terhadap 215,712 responden itu menanyakan tiga soalan, pertama sama ada mereka ingin beraya di rumah sendiri dengan keluarga, kedua sama ada mereka akan benarkan saudara-mara terdekat berkunjung dan ketiga sama ada mereka ingin berhari raya bersama saudara jauh dan jiran tetangga.

"Daripada soalan tersebut: Jawapan A - akan menutup pintu rumah mereka kepada orang luar, (dipilih oleh) sebanyak 74 peratus (responden). 

"(Pilihan) B (sebanyak) 20 peratus dan pilihan ketiga hanya 6 peratus," kata menteri kanan kluster keselamatan itu semasa sidang akhbar harian berkenaan wabak Covid-19 di Putrajaya.

Ismail berkata demikian ketika diminta menjelaskan kenyataan beliau semalam bahawa ramai rakyat Malaysia menggesa kerajaan mengetatkan garis panduan pencegahan Covid-19, dan bukannya memperkenalkan lebih banyak kelonggaran.

Kerajaan sebelum ini antara lain membenarkan sehingga 20 tetamu pada Hari Raya pertama, walaupun kemudian menjelaskan angka itu bergantung kepada saiz sesebuah rumah.

"Kalau inilah trend pandangan dari orang ramai, maka saya tak rasa bimbang sangat kerana 74 peratus tak mahu buka pintu semasa Aidilfitri dan hanya (sambut bersama) orang di rumah sahaja. Dan itulah sebenarnya harapan dari kerajaan.

"Walaupun kita buka untuk 20 orang pada hari raya pertama, tapi kalau pandangan 74 peratus responden mereka tak benarkan orang lain datang beraya, kalau semua macam ni alhamdulillah. Tak timbul kebimbangan kita merebak jangkitan Covid-19 sempena Aidilfitri nanti," jelasnya.