Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri: Harga siling ayam, barang keperluan lain diumum esok

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengumumkan harga siling bagi ayam sempena Aidilfitri, esok, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Ismail berkata ia susulan laporan berkenaan rungutan peniaga dan pengguna berhubung kenaikan harga ayam segar di pasaran, iaitu antara RM8 ke RM9.60 sekilogram.

"Kita tahu dan saya pun baca dalam media, harga ayam tiba-tiba dalam dua tiga hari ini meningkat. Kalau dulu tak timbul isu ini, apabila kedai, restoran-restoran ditutup.

"Jadi, penjualan ayam berkurangan dari segi jumlahnya. Dahulu jika permintaan kurang daripada penawaran ia menyebabkan harga rendah, tapi sekarang harga semakin tinggi.

"Insya-Allah kerajaan ada mekanisma untuk menyekat kenaikan mendadak ini, iaitu melalui skim kawalan harga maksimum musim perayaan dan saya difahamkan KPDNHEP akan umumkannya esok," katanya sambil memaklumkan beliau telah berbincang dengan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berhubung perkara itu.

Kata Ismail lagi, selain ayam, pengumuman itu turut melibatkan harga siling barang keperluan lain sempena Aidilfitri.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Baru-baru ini media melaporkan kenaikan harga ayam sehingga mencecah RM9.60 sekilogram, berbanding ketika tempoh awal perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menurut laporan, tinjauan di beberapa pasar basah dan kedai di Kota Bharu Kelantan, mendapati ayam yang sebelum ini berharga RM3 sekilogram kini naik pada harga kira-kira RM7 sekilogram.

Di Johor, harga ayam standard turut dilaporkan meningkat ketara daripada RM6.50 hingga RM7 kepada RM8 hingga RM8.50 sekilogram.

Di Kedah pula, rungutan daripada peniaga dan pengguna susulan kenaikan harga ayam segar antara RM8 ke RM9.50 sekilogram.

Peningkatan mendadak turut dilaporkan di Shah Alam dan Puchong Selangor, yang mana harga ayam segar sebelum ini sekitar RM4.60 hingga RM6.50 sekilogram tetapi naik mencecah RM9 sekilogram.