'Kini pencuri tunggu untuk ke mahkamah dan pulangkan separuh wang dicuri'
Selepas menang dalam PRU ke-14, antara langkah utama kerajaan PH adalah mengambil tindakan terhadap pihak yang didakwa mencuri wang negara, kata Dr Mahathir Mohamad.
Akan tetapi pihak yang didakwa berbuat demikian boleh menyerahkan semula sebahagian wang tersebut dan terlepas daripada tindakan, dakwanya yang sekali lagi membangkitkan keputusan untuk melepaskan tanpa membebaskan anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak, Riza Aziz.
Menjelaskan keputusan untuk terus menentang pentadbiran Perikatan Nasional yang dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Mahathir berkata keputusan terhadap kes Riza tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Jika ini adalah dasar baru untuk Malaysia, maka semua pencuri dapat mencuri. Dan apabila mereka melakukannya, mereka pasti dapat menikmati separuh daripada wang itu sementara separuh lagi dipulangkan kepada kerajaan agar mereka tidak akan mendapat dihukum," katanya ketika sidang media di Yayasan Perdana, Putrajaya hari ini.
"Jadi sekarang, semua pencuri menunggu untuk pergi ke mahkamah sehingga mereka dapat mengembalikan separuh dari apa yang mereka curi," katanya lagi.
Pada tahun lalu Riza dihadapkan dengan lima pertuduhan pengubahan wang haram bernilai AS$248 juta (RM1.25 bilion) membabitkan dana 1MDB.
Pada 14 Mei lalu, mahkamah melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Riza selepas persetujuan dicapai dengan pihak pendakwaan.
Dalam persetujuan itu, Riza perlu memulangkan semula aset dari luar negara dengan nilai anggaran AS$107.3 juta (RM465.3 juta).
Menurut Mahathir, walaupun Amerika Syarikat juga mengamalkan persetujuan sama bagi membolehkan penjenayah memulangkan semula apa yang diambil daripada kerajaan, sistem di negara itu memberi kelebihan kepada kerajaan.
Tetapi keadaan berbeza di Malaysia apabila tidak sampai separuh daripada wang yang terlibat dalam kes Riza akan dipulangkan, katanya.
Katanya lagi, ia juga bukan apa yang dimahukan pengundi memandangkan PH menang PRU ke-14 kerana antara lain berikrar untuk mengambil tindakan terhadap kleptokrat.
Kita menang PRU ke-14 setelah berjanji untuk bertindak terhadap kerajaan kleptokrasi, yang merompak.
"Tetapi saya dapati ada yang berpura-pura mempunyai hasrat yang sama, tetapi apabila berkuasa, mereka sebaliknya mengembalikan (kalangan daripada) kerajaan kleptokrasi ke tampuk kuasa," katanya.
Walaupun tidak menyebut sebarang nama, ia dipercayai merujuk kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang bersama-sama Umno untuk menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
'Saling tuding jari bukti ia salah'
Dalam pada itu, Mahathir menyifatkan langkah saling menuding jari berhubung keputusan dalam kes Riza menunjukkan kerajaan sedar ia satu kesalahan.
"Ada saling tuding jari, menuduh orang itu dan orang ini yang buat keputusan.
"Mereka sedar ia salah, sebab itu mereka cepat-cepat menceritakan apa yang berlaku," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai