Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dua MP masih dikuarantin, takkan hadir sidang parlimen esok

Sidang parlimen esok akan menyaksikan ketiadaan dua anggota parlimen kerana masih dikuarantin selepas mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mendedahkan mereka adalah antara 10 individu yang tidak dapat menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum ini.

Noor Hisham bagaimanapun tidak mendedahkan nama anggota parlimen berkenaan.

Beliau berkata, baki lapan daripada mereka yang tidak hadir menjalani ujian saringan berkenaan merupakan kakitangan parlimen.

Noor Hisham berkata, seramai 950 daripada 960 orang yang terdiri daripada anggota Parlimen dan kakitangan parlimen telah diuji negatif wabak berkenaan.

Malaysiakini difahamkan kedua-dua anggota parlimen tersebut perlu menjalani ujian berasingan di pusat kuarantin dan masih ditahan walaupun keputusan ujian menunjukkan negatif.

Sebelum ini, beberapa anggota parlimen diuji positif wabak tersebut termasuk Anggota Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang; Anggota Parlimen Sarikei; Andrew Wong dan Anggota Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii.

Sementara itu, Noor Hisham berkata kumpulan berisiko tinggi terdiri daripada kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dan warga emas yang berumur 60 tahun ke atas.

Sehubungan itu,  beliau mengingatkan mereka yang berada di peringkat umur berkenaan agar mengelakkan diri berada di tempat awam terutama hospital.

"Kalau boleh jangan bawa kanak-kanak bawah 12 dan umur lebih 60 terutama yang penyakit kronik datang tempat awam terutama hospital,"katanya.

[Baca berita penuh]