MKN sediakan SOP petugas media
Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang menyediakan prosedur operasi standard (SOP) kepada penganjur program yang memerlukan kehadiran pihak media untuk membuat liputan sewaktu perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
Ini susulan gambar tular yang diambil di Masjid Negara Jumaat lalu , yang memaparkan pihak media berhimpit dalam kawasan tertutup ketika membuat liputan solat Jumaat pertama yang diadakan sejak PKP dilaksanakan 18 Mac.
Ditanya intipati SOP berkenaan, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata: “Tentang SOP kepada penganjur yang memerlukan media untuk hadir, Insya Allah MKN sedang menyediakannya.”
Ismail semalam mengulas gambar terbabit yang tular di media sosial dan menggesa pihak media mematuhi garis panduan Covid-19 iaitu melakukan penjarakan sosial ketika bertugas.
Gambar berkenaan mengundang kritikan netizen terhadap jurugambar yang bertugas di lokasi berkenaan yang didakwa berkemungkinan menjadi kluster baru Covid-19.
Malaysiakini difahamkan pihak pengurusan Masjid Negara menyediakan tempat terhad buat media, dan membiarkan petugas media menjaga penjarakan sosial sesama sendiri.
Difahamkan gambar tular tersebut diambil oleh individu yang bebas bergerak dari dalam dan luar masjid
Sebelum ini, kumpulan kebebasan media termasuk Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) membantah sekatan media yang dilakukan atas nama mematuhi garis panduan Covid-19.
Kumpulan tersebut merujuk kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham sebelum ini yang mengatakan sidang media harian kementerian itu terbuka buat semua media melakukan liputan tetapi harus mematuhi SOP yang ditetapkan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai