Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Perkembangan Covid-19 di negara jiran

Thailand mencatatkan sifar kes baru dan sifar kematian Covid-19 untuk hari ini, menjadikan jumlah kes kekal pada angka 3,025 kes dengan 56 angka kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin mengucapkan terima kasih kepada semua warganegara Thailand atas kerjasama mereka memerangi Covid-19.

“Saya berharap tiada kes baharu dan kematian, dalam tempoh lebih lama atau sekurang-kurangnya satu angka kes baharu memandangkan fasa kedua dengan pelonggaran sekatan akan bermula esok,” katanya pada taklimat harian Covid-19 hari ini, seperti dipetik Bernama.

Sebelum ini, kali terakhir Thailand mencatat sifat kes baru dan sifar kematian seperti hari ini adalah pada Rabu lalu dan 9 Mac lalu.

Esok akan bermulanya fasa kedua pelonggaran sekatan, yang menyaksikan lebih banyak perniagaan dan tempat dibuka termasuk pusat beli-belah dan gedung serbaneka, selain perintah berkurung di seluruh negara akan dipendekkan sejam menjadi lima jam berbanding enam jam sebelum ini.

Selain itu, Thailand yang merupakan negara pertama di luar China yang melaporkan kes itu, turut telah mengeluarkan China, Korea Selatan, Hong Kong dan Macau dari senarai Zon Penyakit Berjangkit untuk Covid-19.

Daripada 3,025 kes, seramai 2,855 pesakit telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital, manakala 114 masih lagi menerima rawatan.

Singapura pula, pada hari ini mencatatkan 465 kes positif baru, dengan majoriti kes melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama, menjadikan kes keseluruhan jangkitan meningkat menjadi 27,356 kes.

Menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Singapura (MOH), data awal sehingga tengah hari ini menunjukkan hanya empat kes melibatkan warganegara Singapura atau penduduk tetap.

Menurut Kementerian itu, mereka masih sedang mendapatkan butiran kes terbabit, dan memaklumkan peningkatan kes itu berlaku kerana ujian berterusan sedang dijalankan di premis-premis asrama.

“Ini merupakan sebahagian daripada proses kami untuk menguji dan memastikan status kesemua pekerja,” kata MOH dalam kenyataan itu, seperti dipetik Bernama.

Setakat ini, Singapura mencatatkan 1,327 kes komuniti, 580 kes import, 435 kes melibatkan pekerja asing di luar asrama dan 24,549 kes melibatkan pekerja asing di asrama pekerja, manakala 1,124 kes masih dirawat, 21 angka kematian, serta 7,248 kes pulih sepenuhnya.

Kematian tertinggi di Jakarta

Semalam, Singapura mengenal pasti lima kluster baru dan pada masa yang sama menutup dua kluster sedia ada, iaitu McDonald dan kawasan kerja pengubahsuaian di National Univerisiti Hospital.

Sementara itu, di Indonesia, kes positif Covid-19 melepasi angka 17,000, apabila 529 kes positif baru direkodkan dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kes di negara itu sebanyak 17,025 kes.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto berkata bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 13 lagi kematian berlaku, menjadikan kes kematian akibat virus itu kini berjumlah 1,089 orang.

Daerah Jakarta mencatatkan kematian tertinggi iaitu 460 kes, diikuti Jawa Timur (183 kes), Jawa Barat (100) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.