Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tinjauan Tesco temukan bukti penganiayaan pekerja asing di Malaysia

Dalam satu tinjauan bagi memastikan perhambaan moden tidak berlaku dalam operasi dan rantaian bekalannya, rangkaian pasar raya multinasional Tesco telah menemukan bukti penganiayaan berlaku di Malaysia.

Berdasarkan dapatan penemuan tersebut, Tesco berkata, mereka telah membangunkan pelan tindakan komprehensif bagi menangani isu tersebut, dibantu pakar hak asasi manusia dari luar.

Kata Tesco, mereka telah menemu bual seramai 169 pekerja asing di Malaysia dan mengenal pasti beberapa dakwaan serius.

Ini termasuklah penahanan pasport, pengurangan upah secara haram dan tanpa penjelasan, keberhutangan yang tinggi dengan broker buruh di negara asal mereka, serta kerja lebih masa yang melampau.

Kata Tesco, mereka mendapati pasport 239 pekerja mereka, terdiri daripada 68 warga Indonesia dan 171 warga Nepal, dipegang oleh “satu tempat (perusahaan) di Malaysia”.

“Semua pasport dipulangkan kepada pekerja dan polisi serta prosedur baru diperkenalkan apabila pasport diperlukan untuk pembaharuan permit kerja atau urusan kerajaan yang lain,” katanya.

Tambah Tesco, ia turut menemukan isu sama berlaku dalam rantaian di Thailand, tetapi, menurut mereka, tahap keberhutangan gara-gara yuran pengambilan bekerja yang melampau di situ tidaklah setinggi seperti di Malaysia.

Syarikat itu berkata ia memang mengenal pasti risiko yuran pengambilan bekerja yang melampau adalah paling tinggi di Asia.

Oleh itu, ia mewajibkan pembekal di Thailand dan Malaysia untuk patuh pada “Prinsip Majikan Bayar”.

Kata Tesco lagi, pelan tindakan komprehensifnya merangkumi penyiasatan terperinci terhadap dakwaan penganiayaan tersebut dan pengwujudan satu talian sokongan serta mekanisme menyalurkan aduan yang mudah dicapai oleh perkeja.

Katanya lagi, garis panduan turut dibuat bagi memastikan pekerja mempunyai akses kepada pasport mereka bila-bila masa yang diperlukan, selain penginapan dan kebajikan mereka juga turut disemak dan ditambah baik.

Tambahnya, pelan itu menggariskan pemulihan penuh, termasuklah pembayaran semula yuran pengambilan bekerja kepada para pekerja.

Syarikat yang berpangkalan di UK itu berkata, ia sedang beralih ke arah pengambilan pekerja asing secara terus, berbanding menerusi agensi pembekal tenaga buruh.

Pengurus turut diberikan latihan tentang kepelbagaian dan keterangkuman (inclusion).

Penemuan itu berdasarkan usaha wajar Tesco terhadap operasinya yang dibuat September lalu dan satu semakan terhadap rantaian bekalan akan menyusul tahun ini.

Di bawah Akta Perhambaan Moden UK 2015, perusahaan berpangkalan di UK perlu menyatakan tindakan diambil pada tahun kewangan semasa bagi memastikan perhambaan moden tidak berlaku dalam operasi dan rantaian bekalan mereka.

Tesco menyiarkan kenyataannya mengenai perhambaan moden pada setiap Mei, sejak 2017.

[Baca berita asal]