Yeo gesa Khairy tawarkan penyelesaian sidang parlimen maya
Bekas menteri Yeo Bee Yin menggesa Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin untuk tampil menawarkan penyelesaian agar parlimen dapat menggunakan teknologi bagi mengadakan persidangan parlimen secara maya berbanding persidangan satu hari tanpa sesi soal jawab, usul, perbahasan dan pengundian.
Yeo yang sebelum ini memegang portfolio Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) mempersoalkan kenapa Khairy Jamaluddin 'ketara menyepi' dalam menyokong penggunaan teknologi untuk Parlimen bersidang
Sedangkan, kata Yeo, Khairy sebelum ini mempromosi penggunaan teknologi dalam “contact-tracing”, fasiliti ujian, dan penjagaan pesakit Covid-19.
"Malah tidak perlu pun sains roket untuk membolehkan parlimen bersidang secara maya.
"Zoom, Google dan Microsoft dan lain-lain syarikat teknologi telahpun ada penyelesaian digital.
"Parlimen di kebanyakan negara di dunia ini telah beroperasi secara maya (secara sepenuhnya atau separa) bukan sahaja negara-negara maju seperti United Kingdom, Kanada, Belgium, Perancis, New Zealand and Luxembourg malah negara-negara membangun juga seperti Poland, Maldives, Brazil, Angola dan banyak lagi," kata Yeo, yang juga ahli parlimen Bakri.
Yeo juga menyifatkan bahawa PN menjadikan pandemik Covid-19 sebagai alasan untuk tidak mengadakan sesi Parlimen atau mesyuarat jawatankuasa parlimen selaras dengan amalan demokrasi.
Katanya, sekiranya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan PN yakin dengan sokongan majoriti dan tidak gentar berhadapan dengan “check-and-balance” pembangkang, terdapat berbagai penyelesaian teknologi bagi membolehkan Parlimen beroperasi – secara maya, fizikal atau kombinasi kedua-duanya.
"Peraturan-peraturan boleh dipinda bagi membenarkan perubahan ini, jika perlu," katanya.
Ketika ini, sidang parlimen satu hari pada 18 Mei akan ditangguhkan selepas titah perasmian Yang di-Pertuan Agong.
Kerajaan pada awalnya merancang untuk membentangkan empat usul dan dua rang undang-undang selama satu hari itu.
PH terus-menerus meminta persidangan itu dilanjutkan dengan bekas menteri undang-undang Liew Vui Keong mengemukakan usul tergempar agar sidang itu dilanjutkan hingga lapan hari.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad pula mengajukan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin yang pada awalnya diterima oleh Speaker Mohamad Ariff Md Yusof.
Langkah untuk menterhadkan sesi persidangan itu dipenuhi dengan kontroversi dan menyaksikan setiausaha parlimen Riduan Rahmat dipindahkan setelah kurang dari tiga bulan memgang jawatannya berikutan perubahan agenda.
Ahli Parlimen PH juga menjangkakan persidangan satu hari itu akan menelan kos tinggi memandangkan elaun hotel, makanan dan perjalanan yang diperuntukkan kepada 222 anggota parlimen untuk menghadiri persidangan, terutama bagi 57 anggota Parlimen dari Sarawak (31), Sabah ( 25) dan Labuan (seorang) yang harus menaiki kapal terbang ke ibu negara.
"Dengan teknologi kini yang sedia ada terdapat seribu satu cara bagi membolehkan parlimen terus berfungsi sebagai mekanisma semak dan imbang bagi kuasa eksekutif sekalipun dalam pandemik Covid-19.
"Kesan dan akibat daripada Covid-19 adalah sesuatu yang tidak pernah dialami sebelum ini. Rakyat memerlukan segala yang ada untuk keselamatan, kelangsungan hidup, dan kesihatan
mereka diambil peduli oleh kerajaan, walaupun kerajaan ini bukannya kerajaan yang mereka undi.
"Persidangan kali ini kritikal untuk rakyat, mana-mana kerajaan sekalipun akan bertindak wajar dan bertanggungjawab terhadap rakyatnya untuk bermesyuarat dan berbincang mengenai tindakan selanjutnya dengan kepentingan rakyat menjadi keutamaan. Bukankah
kita, pertama sekali, wakil rakyat untuk menyuarakan keresahan mereka dan Parlimen lah tempat kita bersidang?" katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai