Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Nasib Mukhriz masih terawang 'atas angin' - Penganalisis

Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir kini berdepan kemelut politik dalam Bersatu sekali gus 'menggugat' kerajaan negeri pimpinannya yang diperkatakan hampir runtuh.

Rata-rata penganalisis politik yang ditemui Malaysiakini mempunyai pandangan berbeza berkenaan prolitik politik tersebut sejurus menyifatkan kedudukannya masih terawang-awang di “atas angin.”

Ini kerana beberapa pemerhati politik menjelaskan Mukhriz masih mempunyai harapan untuk bangkit menjadi ahli politik yang berwibawa meskipun diasak beberapa isu dalaman parti.

Penganalisis politik, Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) percaya kemelut di Kedah yang dihadapi Mukhriz bakal menguatkan kedudukannya sebagai pemimpin.

“Saya rasakan beliau (Muhkriz) sudah melalui sepak terajang yang biasa dalam politik sebagaimana kita melihat di dalam Umno dan kini beliau berhadapan kali kedua dan saya percaya ini akan menguatkan lagi kedudukan beliau untuk terus berjuang dalam politik.

“Dan peristiwa-peristiwa seperti inilah yang akan meningkatkan lagi motivasi dan keazaman beliau untuk melalui keadaan yang mencabar seperti yang kita lihat di Kedah sudah dua kali,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Senada dengan Sivamurugan, Prof Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata bahawa dalam politik ada naik turunnya.

Bagaimanapun, jelasnya, cabaran yang dihadapi Muhkriz bakal membuatkannya menjadi seorang ahli politik yang matang.

“Dalam politik dia (Mukhriz) muda lagi. Bagi saya turun naik politik ini biasalah, Tun Mahathir, Anwar dan Najib pun naik turun politiknya.

“Jadi dalam konteks ini, saya rasa Mukhriz dia dah pernah naik dan dia dah pernah turun, tetapi disebabkan dia muda, dia akan belajar daripada dua pengalaman inilah untuk jadikan dia pemimpin yang matang.

“Jadi, kemungkinan akan datang dia (Mukhriz) akan naik balik, mungkin dalam platform, pendekatan atau pun perspektif berbeza,” katanya lagi.

Mengulas berkenaan kemelut yang dihadapi oleh Mukhriz di Kedah, Azizuddin berkata bahawa semuanya bakal bergantung ke atas budi bicara Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Badlishah.

“Muhkriz masih menteri besar dan dalam sidang medianya dia kata penyelesaian terbaik adalah melalui sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Tapi semua ini bergantung kepada budi bicara sultan cuma sebelum ini tak ada yang sultan terus setuju selepas terima (usul) kerajaan hilang kuasa atau pun hilang kepercayaan kepada menteri besar.

“Dalam masa sama, sultan juga boleh kata menteri besar mungkin boleh ditukar tapi beliau mahu lebih cadangan nama.

“Jadi, tak semestinya nama yang dicadangkan itu akan diterima seperti nama Muhammad Sanusi Md Nor (ketua pembangkang Kedah) ini, tak mungkin nama dia akan diterima. Walaupun peluang terbesar ada pada PAS tapi tak semestinya keadaan itu berlaku,” katanya lagi.

Hari ini, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kedah Perikatan Nasional (PN) telah mengadap Sultan Kedah.

Sultan menerima mengadap kesemua Adun di negeri itu selepas PAS Kedah - pemegang kerusi terbanyak dalam DUN - mendakwa mempunyai sokongan 23 daripada 36 Adun untuk membentuk kerajaan baru.

Pergolakan di Kedah berlaku susulan pertembungan di peringkat pusat apabila Mukhriz, seperti Pengerusi Bersatu Mahathir Mohamad yang juga bapanya, menolak kerjasama dengan PN.

Setakat kelmarin, Mukhriz mengaku beliau masih menteri besar yang sah selagi PN belum membuktikan majoritinya secara rasmi.

Ibarat melukut di tepi gantang

Sementara itu, terdapat juga beberapa pemerhati politik yang menjangkakan karier Mukhriz bakal menemui noktah berikutan kemelut yang dihadapinya.

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Dr Jeniri Amir berkata Mukhriz kini sudah diibaratkan seperti melukut di tepi gantang.

“Keseluruhan saya rasa dalam politik dia sudah hilang dan akan jadi lemah dan masa depan lagi-lagi bila ayah dia (Dr Mahathir) sudah tiada dekat situ (Bersatu).

“Dia (Muhkriz) sukar ke sana dan dia macam terhimpit. Lebih-lebih lagi apabila Umno dan PAS berkuasa, dia akan seperti melukut di tepi gantang.

“Bagi pandangan saya dia bukan satu ahli politik yang menyerlah dan ayahnya (Dr Mahathir) lebih menonjol dan membayanginya,” katanya lagi.

Selain itu, bekas pensyarah pusat pengajian sains dan kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Ahmad Atory Hussain juga menjelaskan kedudukan politik Mukhriz kian menurun semenjak krisis yang dihadapinya dalam parti Bersatu.

“Mukhriz (prestasi) makin turun, dari awal Bersatu ada masalah, tambah pula dengan kedudukan kerajaan negeri.

“Mukhriz perlu memperbaiki banyak perkara dan kepimpinannya supaya kalau kembali pun menjadi yang (ahli politik) berkaliber,” katanya.

Sebelum ini, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dispekulasikan sedang merancang untuk menyingkirkan Dr Mahathir dan timbalan presiden parti, anaknya Mukhriz.

Ia berlaku di tengah-tengah persaingan politik antara Dr Mahathir sebagai pengerusi dengan presidennya Muhyiddin Yassin.

Untuk rekod, kerajaan Pakatan Harapan (PH) runtuh Februari lalu setelah Muhyiddin membuat keputusan untuk mengeluarkan Bersatu dalam pakatan tersebut dan membentuk gabungan bersama pembelot PKR yang diketuai bekas timbalannya Azmin Ali.

Bersama pembangkang, gabungan tersebut membentuk kerajaan PN.