Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

'Amaran KDN untuk guna segala undang-undang tangani berita palsu merisaukan'

Sebuah pertubuhan hak asasi manusia hari ini mengkritik Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana mengancam untuk menggunakan segala peruntukan undang-undang - termasuk Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan - terhadap mereka yang dianggap kerajaan sebagai menyebarkan "berita palsu".

Menyifatkan tindakan menggunakan undang-undang untuk menutup mulut pengkritik sebagai membimbangkan, Amnesty International Malaysia berkata amaran oleh Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin menunjukkan kerajaan tidak menghormati kebebasan bersuara warga.

"Ancaman untuk terus menggunakan peruntukan yang menindas yang membataskan kebebasan bersuara warga menunjukkan kerajaan membelakangi kebebasan bersuara.

"Ada ancaman sebenar bahawa undang-undang ini boleh digunakan sewenang-wenangnya untuk menutup pandangan berbeza dan kritikan terhadap kerajaan.

"Undang-undang yang menjadikan amalan kebebasan bersuara sebagai jenayah kasar dan kabur, dan tiada tempat dalam masyarakat," kata pengarah eksekutif interim pertubuhan itu, Preethi Bhardwaj.

Dalam satu kenyataan semalam, Hamzah berkata KDN memandang serius penyebaran berita palsu berbaur hasutan kerana ia boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

Beliau berkata pihaknya tidak akan berkrompomi terhadap pihak yang sengaja mencetuskan provokasi dan tidak teragak-agak untuk menggunakan segala peruntukan perundangan sedia ada seperti Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 termasuk Akta Hasutan 1948.

Bhardwaj bagaimanapun membangkitkan beberapa kes mutakhir ini di mana individu dikenakan tindakan kerana menyuarakan pandangan di media sosial, termasuk mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan atas kesalahan menerbitkan kenyataan dengan niat menyebabkan ketakutan awam.

Hamzah Zainuddin

Antara kes yang disebutnya ialah pembantu kedai berusia 20 tahun, Nurshahira Mohd Mizuar yang didenda RM10,000 serta dipenjara tiga bulan kerana menghina polis yang mengarahkannya pulang ke rumah ketika perintah kawalan pergerakan (PKP), serta bekas juruhebah Patrick Teoh yang ditahan kerana didakwa menghina Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Facebook.

Bhardwaj juga membangkitkan kes ahli perniagaan Shamsubahrin Ismail yang didakwa atas kenyataan di media sosial yang dikatakan mengkritik tindakan kerajaan terhadap mereka yang ingkar PKP.

"Siasatan terhadap Nurshahira, Shamsubahrin dan Teoh semuanya berdasarkan dakwaan pelanggaran Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

"Amnesty International Malaysia berulang kali menggesa kerajaan memansuhkannya dan peruntukan lain yang serupa, seperti Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana takrifan kesalahan yang luas.

"Kerajaan terdahulu telah menggunakan Akta Komunikasi dan Multimedia untuk menghukum dan memenjarakan seteru mereka dan juga aktivis yang berani bersuara terhadap mereka. Kita tidak boleh kembali ke era itu," katanya lagi.

Maklum akan kepentingan usaha melawan penyebaran maklumat salah ketika pandemik, Bhardwaj bagaimanapun menekankan batas kebebasan bersuara perlu "wajar dan berkadar" untuk perlindungan kesihatan awam.

Katanya, ia perlu dilakukan berdasarkan undang-undang yang jelas, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kurang dalam aspek itu.

"Larangan berdasarkan istilah tidak jelas seperti 'salah maklumat' dan 'berita palsu' tidak perlu dalam melindungi kesihatan awam dan justeru tidak selari dengan hak bersuara.

"Cara terbaik untuk menangani salah maklumat ialah melalui sistem maklumat yang tepat yang membawa kepada peningkatan kepercayaan awam terhadap kerajaan," katanya lagi, sambil menggesa pihak berkuasa menggugurkan dakwaan terhadap mereka yagn dituduh menyebarkan berita palsu.