Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tiada penerbangan, tiada kerja, sempadan tutup: Rakyat M’sia terkandas di Macau

Semenjak wabak Covid-19 mencetuskan krisis kesihatan awam global, banyak negara telah menutup sempadan dan syarikat penerbangan membatalkan penerbangan.

Ini menyebabkan sebilangan rakyat Malaysia terkandas di luar negara.

Chia Soon Hui merupakan salah seorang dari mereka. Chia merupakan seorang juruteknologi pergigian di Macau.

Syarikatnya tidak melanjutkan kontrak kerja pada akhir April lalu dan Chia terpaksa melanjutkan permit kerana tiada penerbangan untuk pulang ke Malaysia.

Ketika dihubungi Malaysiakini, rakyat Malaysia berumur 27 tahun itu berkata satu-satunya syarikat penerbangan yang terbang dari Macau ke Malaysia adalah AirAsia tetapi syarikat tersebut memberhertinkan penerbangan susulan Covid-19.

Sempadan berdekatan juga ditutup

Sementara itu, tempat-tempat berdekatan Macau seperti Hong Kong, Taiwan dan China juga menutup sempadan, sekali gus menutup peluang Chia untuk mengambil penerbangan dari tempat berkenaan.

Menurut Chia, Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia yang terdekat baginya berada di Hong Kong.

Chia telah menghubungi beberapa pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan namun masih belum terima sebarang penyelesaian.

“Saya ada bertanya kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Hong Kong. Jika saya dapat masuk ke Hong Kong (untuk mengambil penerbangan) tetapi mereka meminta saya supaya bertanya kepada Jabatan Imigresen Hong Kong dan jabatan itu berkata saya harus tunggu maklum balas dari kerajaan pusat.

“Untuk Taiwan dan China, saya baca berita menyatakan bahawa mereka telah tutup sempadan,” katanya.

Permit kerja Chia sepatutnya telah berakhir pada 20 Mei, bagaimanapun Jabatan Imigresen Macau membenarkannya untuk melanjutkan visa itu untuk 20 hari lagi susulan keadaan sekarang.

Bimbang masalah kewangan

Chia kini tinggal di asrama pekerja.

“Saya dah beritahu bekas syarikat berkenaan situasi saya dan mereka membenarkan untuk tinggal di asrama sehingga saya boleh beli tiket penerbangan.

Dia juga bimbang akan kemungkinan menghadapi masalah kewangan jika berterusan terkandas di Macau untuk tempoh yang lama tanpa pekerjaan.

Susulan wabak Covid-19, Chia meramalkan sukar untuk mendapat kerja baru di Macau dan berharap dapat pulang ke kampungnya di Sekinchan, Selangor segera.

Tiada Konsulat Jeneral Malaysia di Macau

Malaysia tidak mempunyai kedutaan di Macau. Hanya Konsulat Jeneral Malaysia di Hong Kong yang bertanggungjawab untuk kebajikan rakyat Malaysia di Macau.

Seorang pegawai dari Kementerian Luar memberitahu Malaysiakini mereka kini tidak mempunyai data terhadap bilangan rakyat Malaysia di Macau.

Pegawai terbabit juga meminta Malaysiakini bertanya kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Hong Kong untuk sebarang informasi berkenaan kes Chia.

Malaysiakini telah menghantar e-mel kepada konsulat tersebut bagi mendapatkan respons kerana pekerja mereka tidak dibenarkan untuk menjawab pertanyaan media menerusi panggilan telefon.

Sejak 4 Mei pada jam 7 malam yang lalu, sejumlah 4,349,075 kes Covid-19 yang direkodkan seluruh dunia dengan jumlah 297,207 kematian dan 1,548,375 pulih.

Sehingga kini, Macau merekodkan 45 kes Covid-19 dengan tiada kematian manakala Malaysia mencatatkan jumlah keseluruhan 6,819 kes dengan 112 kematian serta 5,351 pulih sehingga semalam.