Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Annuar: Kerajaan Mukhriz tempang kerana masih bersama PH

Pertukaran kepimpinan kerajaan negeri Kedah adalah sesuatu yang baik dan amat dialu-alukan rakyat, kata Setiausaha Agung BN, Annuar Musa.

Beliau berkata, kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Mukhriz Mahathir agak tempang kerana masih bersama Pakatan Harapan (PH) meskipun Bersatu membentuk Perikatan Nasional (PN).

"Saya kira itu satu perkembangan yang baik, yang dialu-alukan oleh semua rakyat kerana baru-baru ini ada sedikit tempangnya.

"Kerana mantan menteri besar Kedah adalah timbalan presiden Bersatu merupakan sebahagian daripada PN tetapi menganggap kerajaan itu susulan kepada kerajaan PH. Jadi sekarang perkara itu dimurnikan.

"Kerajaan (negeri) Kedah adalah Insya-Allah kerajaan PN," katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, Mukhriz Mahathir mempertahankan yang beliau masih menteri besar Kedah walaupun pembangkang mendakwa beliau telah hilang sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Suasana politik di Kedah masih lagi terkawal, saya masih lagi menteri besar dan kerajaan masih lagi wujud, maka tidak benarlah dakwaan dari mana-mana pihak bahawa kerajaan ini telah jatuh semalam," katanya dalam sidang media di Wisma Darul Aman, Kedah.

Mukhriz yang juga Adun Jerlun berkata terdapat prosedur yang perlu diikut untuk menukar kerajaan.

PH Kedah dan Mukhriz hilang majoriti selepas Adun Sidam dan Lunas mengumumkan keluar PKR (bawah) dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.