Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PN tak yakin ada majoriti, kata Anwar

Usaha menyingkatkan sesi persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei ini menunjukkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Muhyiddin Yassin tidak yakin mempunyai majoriti, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Presiden PKR berkata, wabak Covid-19 tidak boleh dijadikan alasan kerana petugas parlimen sudah menjarakkan tempat duduk aggota parlimen berdasarkan nasihat oleh pihak berkuasa kesihatan.

"Tapi saya percaya kemungkinan besar kerana kerajaan tak ada keyakinan untuk dapat dukungan majoriti di parlimen," katanya dalam rancangan bual bicara melalui siaran langsung Facebook pagi ini.

Anwar mengulas keputusan terkini bahawa Dewan Rakyat yang berlangsung sehari pada Isnin ini hanya akan mendengar titah diraja oleh Yang di-Pertuan Agong.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof, berkata beliau menerima surat pemakluman daripada Muhyiddin selaku ketua Majlis Dewan Rakyat, bahawa kerajaan memutuskan tiada sidang selepas titah diraja yang dijadualkan berlangsung jam 10 pagi.

Mengulas lanjut, Anwar berkata PN berada dalam ketidaktentuan berhubung jumlah ahli-ahli parlimen yang menyokong mereka.

"Ahli-ahli parlimen yang ada sekarang kadang-kadang, apakah jawatannya. Harap dapat menteri tak dapat, lompat. Harap dapat GLC, tak dapat lompat, akhirnya dunia politik ini ibarat katak dan bukan nilai dan bukan prinsip," katanya .

Beliau turut mengingatkan rakyat bahawa dalam pilihan raya akan datang, mereka perlu memilih calon yang berpegang kepada prinsip.

Ditanya seorang netizen mengenai apa yang dijangka akan berlaku pada sidang 18 Mei ini, Anwar berkata tidak banyak yang boleh dilakukan memandangkan persidangan itu hanya dihadkan kepada mendengar titah Yang di-Pertuan Agong.

"Sidang ni kita mesti hormati dan memuliakan institusi YDPA.

"Agong datang, jadi kita tanpa kira parti harus berikan penghormatan dan beradab dan bersopan memuliakan institusi raja untuk memenuhi tanggungjawab perlembagaan. 

"Selain dari itu, saya tak jangka apa-apa boleh diadakan," katanya.