Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

DUN Johor larang Adun bawa telefon masuk dewan

Tiada telefon genggam akan dibenarkan dibawa ke dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor esok.

Arahan itu dikeluarkan Jurutulis DUN Johor Shubanah Yusuf kepada semua Adun negeri itu melalui aplikasi WhatsApp.

Beliau juga memberitahu semua wakil rakyat dikehendaki berada di DUN menjelang 8.20 pagi untuk menjalani pemeriksaan suhu badan dan pengesan bahan logam sebelum dibenarkan memasuki dewan.

"Dipohon kerjasama YB (yang berhormat) untuk hadir awal ke persidangan DUN di Kota Iskandar esok, 14 Mei, jam 8.20 pg.

"Pihak YB akan melalui dua lapisan pemeriksaan iaitu pemeriksaan suhu badan dan pemeriksaan metal detector sebelum dibenarkan masuk ke dewan.

"Handphone (telefon tangan) tidak dibenarkan dibawa masuk ke dewan. Sekiranya pihak YB membawanya, YB diminta untuk menyimpannya di peti simpanan yang disediakan di luar dan akan diberi nombor identifikasi," kata arahan tersebut yang dilihat Malaysiakini.

Sementara itu Adun Amanah, Dzulkefly Ahmad (Kota Iskandar-PH) berkata beliau yakin arahan tersebut bukan datang daripada speaker DUN.

Nak tahu siapa tandatangan

"Tak pasti siapa yang arahkan beliau (Shubanah), yang pasti bukan daripada speaker," katanya.

Beliau juga berkata sepatutnya arahan sebegitu dibuat secara rasmi melalui surat agak ia lebih jelas.

"Takan setiausaha DUN ada kuasa lebih besar darioada speaker?" katanya.

Yeo Tung Siong (Pekan Nanas-PH) pula berkata beliau meminta penjelasan daripada Shubanah agar mengeluarkan surat rasmi mengenai larangan berkenaan.

"Saya nak tahu siapa nak tandatangan surat itu," kata wakil rakyat DAP itu kepada Malaysiakini.

Bagi Adun Bukit Batu (PKR), Jimmy Puah, beliau berkata arahan membawa telefon genggam seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

Sementara itu sumber DUN Johor memberitahu mesej tersebut merupakan arahan pentadbiran dan memang bukan dikeluarkan oleh speaker.

Malaysiakini sudah menghubungi Shubanah bagi mendapatkan komen beliau.

Sidang esok menjadi perhatian ramai kerana sebelum ini berlaku ketegangan di DUN Melaka dan Perak. Sama seperti Johor, dua negeri terbabit berada dalam pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum beralih kepada Perikatan Nasional.

Sebahagian daripada insiden ketegangan di DUN Melaka dan Perak dirakam anggota dewan dan kemudian menjadi tular.

Sidang esok dijadual bermula pada 9.30 pagi dan tidak berpanjangan atas alasan wujudnya ancaman Covid-19.

Selain titah ucapan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Adun diberitahu melalui pekeliling DUN, tiada sebarang soalan, usul atau rang undang-undang akan dikemukakan.

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.