Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Syed Saddiq, kedua orang tua kemuka pengisytiharan harta hari ini

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menerima dokumen pengisytiharan harta lebih awal daripada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta kedua ibu bapanya bagi melengkapkan siasatan kehilangan wang tunai berjumlah RM250,000 melibatkan ahli politik itu.

Sumber yang rapat dengan siasatan berkata, keluarga bekas menteri belia dan sukan itu telah menghantar dokumen kepada SPRM petang tadi.

Mereka sebelum ini memohon diberi lebih banyak masa untuk membuat perisytiharan itu.

"Kami telah menerima pengisytiharan tadi," kata seorang pegawai berpangkat tinggi yang enggan namanya disiarkan memandangkan kes tersebut merupakan kes berprofil tinggi.

"Langkah seterusnya sekarang adalah untuk penyiasat mengkaji dokumen-dokumen berkenaan dan mengesahkannya.

"Ini biasanya akan mengambil masa untuk disiapkan," kata sumber itu ketika ditanya sekiranya siasatan dapat disiapkan segera.

Pada penghujung Mac lalu, Syed Saddiq membuat laporan polis selepas kehilangan wang tunai dianggarkan sekitar RM250,000 dari peti besi di rumahnya di Petaling Jaya.

Berita mengenai kejadian itu menimbulkan spekulasi dan persoalan mengenai sumber wang tunai berkenaan, yang membawa kepada laporan SPRM.

SPRM kemudian memulakan siasatan bagi menentukan sama ada wang itu diperoleh melalui cara yang sah atau sebaliknya.

Syed Saddiq menafikan wang berkenaan milik Bersatu, di mana beliau merupakan ketua sayap pemudanya, Armada.

Beliau mendakwa wang tunai itu miliknya dan kedua ibu bapanya.

Sumber SPRM memberitahu Malaysiakini bahawa dakwaan Syed Saddiq itu merupakan sebab mengapa anggota penyiasat meminta ketiga-tiga mereka mengisytiharkan harta sebagai sebahagian daripada siasatan.

Difahamkan SPRM telah menemubual Syed Saddiq semasa fasa pertama perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membantu siasatan.

Kedua ibu bapanya juga telah memberikan keterangan kepada SPRM.

Sebelum itu sumber merujuk kepada hantaran Syed Saddiq di Instagram yang dimuat naik semalam, yang mengatakan siasatan telah bermula sejak dua bulan lalu.

"Oleh itu, apabila dia kata dalam Instagram bahawa kes itu telah disiasat oleh SPRM sejak dua bulan lalu dan tiada apa yang berlaku, ini kerana dia dan ibu bapanya masih belum isytiharkan harta.

"Oleh itu, beliau tidak perlu membuat sebarang andaian bahawa kelewatan itu adalah di pihak penyiasat SPRM," kata pegawai itu, merujuk kepada hantaran Instagram terkini Syed Saddiq semalam.

Menurut sumber, Syed Saddiq diminta mengisytiharkan semula hartanya di bawah Seksyen 36 (1) Akta SPRM 2009 kerana siasatan kini tidak sama dengan yang dilakukan ketika beliau menganggotai kabinet.

Dalam hantaran media sosial itu, Syed Saddiq mengulas mengenai usaha mengaitkannya dengan perbuatan rasuah, dan mengatakan beliau tidak menyertai politik kerana kedudukan atau kewangan.

Menyentuh mengenai kes kehilangan wang tunai tersebut, Syed Saddiq berkata beliau tidak akan membuat laporan polis jika wang itu berasal dari amalan rasuah.

Syed Saddiq kemudian menjelaskan jumlah gaji dan elaun yang diterimanya semasa menjadi menteri kabinet.

Katanya, sebagai seorang menteri dan seorang anggota parlimen beliau memperolehi pendapatan RM55,000 sebulan.

Bekas menteri itu berkata beliau turut menerima elaun 'pinggan mangkuk' sebanyak RM42,000.

Malaysiakini telah menghubungi Syed Saddiq dan seorang pembantu beliau untuk mendapatkan komen mengenai isu pengisytiharan harta berkenaan.