Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Selangor izin makan dan minum di restoran, memancing

Selangor membenarkan orang ramai makan dan minum di premis makanan termasuk restoran, medan selera, gerai makan atau kios di negeri itu mulai esok, 13 Mei.

Menteri Besar, Amirudin Shari, bagaimanapun berkata orang ramai perlu mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan mengikut perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

“Semua premis makanan berkenaan dibenarkan beroperasi sepenuhnya termasuk makan dan minum di dalam premis bermula pukul 7 pagi hingga 10 malam, tertakluk kepada pematuhan penjarakan sosial.

"Namun, peniaga tidak dibenarkan membuka meja di kawasan kaki lima mahupun di tempat letak kenderaan.

“Peniaga juga digalakkan memberi pilihan pre-order (prapesanan) kepada pelanggan bagi mengelakkan kesesakan di premis mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Amirudin lagi bagi memastikan semua pihak mematuhi peraturan yang ditetapkan, penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) akan melakukan pemeriksaan mengejut dari semasa ke semasa.

Awal bulan ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKPB dengan sebahagian besar sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan dibenarkan beroperasi mulai 4 Mei, tertakluk kepada syarat-syarat dan SOP yang ditetapkan.

Pasar pagi, pasar malam dilarang

Bagaimanapun, kerajaan Selangor melaksanakan PKPB dengan penetapan beberapa perincian tambahan. Antaranya peniaga dan penjaja berpremis dibenarkan beroperasi dari jam 7 pagi hingga 10 malam, terhad kepada urusan bawa pulang, pandu lalu dan penghantaran.

Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, Amirudin memaklumkan bahawa peniaga kendera saji (food truck) dan penjaja tepi jalan juga dibenarkan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 10 malam.

"Namun ia terhad kepada pandu lalu, bungkus dan penghantaran sahaja," katanya.

Bagi pasar awam, pasar borong, pasar segar dan pasar swasta pula, beliau berkata, premis berkenaan boleh beroperasi seperti biasa namun aktiviti penyembelihan dan pemprosesan ayam di lokasi sama tidak dibenarkan.

“Larangan operasi bagi pasar pagi dan pasar malam kekal buat masa ini," katanya.

Selain itu, kata Amriduin, semua jenis taman awam di Selangor dibenarkan dibuka kepada orang ramai beriadah bermula pukul 7 pagi hingga 7 malam. Aktiviti memancing juga boleh dilakukan.

"Bagaimanapun, sebarang perkhemahan dan pendakian masih tidak dibenarkan,” katanya.

Selain itu, Amirudin berkata surat pekeliling yang lebih terperinci mengenai keputusan kerajaan negeri itu akan dikeluarkan sebagai rujukan dan perkara lain yang tidak termasuk dalam senarai berkenaan adalah tertakluk kepada tatacara SOP Majlis Keselamatan Negara.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.