Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bicara kes 1MDB Najib akan disambung lepas sidang parlimen

Perbicaraan kes berprofil tinggi Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menghadapi pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang dijadual 18 Mei, telah ditangguh kepada keesokan hari berikutnya bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu menghadiri sidang sehari Dewan Rakyat.

Timbalan pendakwaraya, Ahmad Akram Gharib berkata, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah telah menghantar emel kepada Mahkamah Tinggi pada Jumaat lepas untuk memohon tarikh baharu itu.

"Permohonan pihak pembela telah diluluskan dan perbicaraan akan bersambung pada 19 Mei, pukul 2.00 petang,” katanya.

Perbicaraan itu yang mendapat liputan meluas menjalani prosiding terakhir pada 13 Mac di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Mahkamah sebelum itu menetapkan 19-20 Mac, 23-27 Mac dan 30-31 Mac; 1-30 April; dan 4-8 Mei, 11-22 Mei termasuk Jumaat untuk meneruskan perbicaraan itu.

Tarikh lain yang ditetapkan ialah seluruh bulan Jun, Julai, Ogos, September dan Oktober termasuk Jumaat.

Namun, prosiding itu telah ditangguhkan beberapa kali susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan.

Apabila perbicaraan disambung semula, peguam bela Najib dijangka akan meneruskan soal balas saksi kesembilan pendakwaan iaitu bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, yang menjadi saksi sejak 23 Sept tahun lepas.

Najib, 67, berhadapan dengan empat pertuduhan menyalahguna kedudukannya untuk memperoleh gratifikasi berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang yang sama.

-Bernama