Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Eksport mi segera Thailand meningkat kerana Covid-19

GLOBAL | Eksport mi segera Thailand melonjak pada suku pertama tahun ini, terutama di pasaran Asia Tenggara disebabkan wabak Covid-19, lapor agensi berita Thailand (TNA).

Ketua Pengarah Jabatan Perundingan Perdagangan Auramon Supthaweethum berkata permintaan mi segera meningkat ekoran ramai yang duduk di rumah dan lebih memilih makanan mudah di masak serta tahan lama disimpan.

Auramon berkata eksport mi segera Thailand meningkat 11 peratus tahun ke tahun pada suku pertama tahun ini, berjumlah AS$57.8 juta.

Asia Tenggara pasaran terbesar, sebanyak 54.8 peratus daripada keseluruhan nilai eksport.

Thailand mengeksport mi segera bernilai AS$31.7 juta ke Asia Tenggara dalam tempoh itu, meningkat sebanyak 27.3 peratus tahun ke tahun.

Kemboja pasaran terbesar diikuti Myanmar, Laos dan Vietnam.

Pasaran kedua terbesar ialah Belanda yang membeli 9.2 peratus daripada semua nilai eksport diikuti Amerika Syarikat (6.6 peratus), Australia (5.1 peratus) dan Perancis (3,1 peratus).

Tahun lalu Thailand merupakan pengeksport ketiga terbesar selepas China dan Korea Selatan.

Menurutnya lagi Indonesia, Vietnam, Filipina dan Malaysia adalah antara 15 negara teratas dalam penggunaan mi segera.

Pada 2019 eksport ke negara-negara Asia Tenggara bernilai AS$119.35 juta, meningkat 31 peratus berbanding 2018.

-Bernama