Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ROS mungkin campur tangan krisis Bersatu jika terima aduan

Ketika perpecahan dalaman Bersatu semakin jelas dan wujud dua individu mendakwa sebagai setiausaha agung parti itu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) hari ini berkata mereka akan campur tangan jika ada aduan dibuat.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Ketua Pengarah ROS, Masyati Abang Ibrahim, berkata buat masa ini pihaknya tidak dapat memberikan sebarang kenyataan kerana apa yang diketahui mengenai Bersatu tidak jelas.

“ROS akan keluarkan kenyataan apabila keadaan mengizinkan,” katanya.

Masyati juga menolak untuk mengesahkan ketika ditanya adakah terdapat aduan rasmi terhadap Bersatu dikemukakan kepada ROS. Beliau sebaliknya menjawab: “Nanti kami akan maklumkan.”

Bersatu kini berpecah kepada dua kumpulan, dengan majoritinya diketuai oleh Perdana Menteri yang juga presiden parti itu, Muhyiddin Yassin, manakala selebihnya menjadi penyokong setia bekas perdana menteri dan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad.

Sejak keluar dari PH dan bergabung dengan BN dan PAS untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN), ketegangan dalaman Bersatu terus memuncak memandangkan parti itu memiliki dua setiausaha agung, masing-masingnya berpihak kepada Mahathir dan Muhyiddin.

Ia bermula dengan pemecatan Marzuki Yahya sebagai setiausaha agung pada 18 Mac oleh Muhyiddin, diikuti dengan pelantikan Hamzah Zainuddin sebagai penggantinya.

Marzuki ialah bekas timbalan menteri luar, manakala Hamzah kini mengetuai Kementerian Dalam Negeri yang mengelola pelbagai agensi berkaitan keselamatan serta pertubuhan, termasuk Polis Diraja Malaysia dan ROS.

Mahathir bagaimanapun mengatakan pemecatan Marzuki adalah terbatal dan tidak sah kerana tidak mengikut perlembagaan parti.

Semalam pula Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dilaporkan membuat rancangan untuk menyingkirkan Mahathir dan timbalan presiden mereka, Mukhriz Mahathir dan ia mungkin membawa kepada pemecatan mereka. 

Sumber mengatakan keputusan itu seharusnya dibuat dalam mesyuarat MPT namun tidak lama kemudian notis baru dikeluarkan untuk memaklumkan, pertemuan tersebut - yang tidak menjemput Mahathir dan Mukhriz - ditangguhkan. 


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.