Saya diterjah dengan lembing dari segenap arah - Ahmad Zahid
Hari ini, Umno menyambut ulang tahunnya yang ke 74. Walaupun Umno tumbang pada PRU14 lalu selepas berkuasa 61 tahun, namun kepintaran berpolitik telah mengembalikan parti itu ke tampuk kekuasaan negara.
Bagaimanapun, pengalaman itu bukanlah mudah, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang berkongsi pengalamannya menjadi ketua kepada parti pembangkang utama selama 22 bulan.
"Saya bernasib baik diberi kesempatan untuk memimpin Umno dalam suasana Umno kalah dalam PRU lalu dan dalam keadaan Umno kembali menjadi sebahagian daripada kerajaan (PN).
"Dalam suasana itu sudah tentu terlalu banyak cabaran, pertama orang melihat Umno tidak lagi relevan dan Umno mahu dipecah perintahkan, mereka yang tidak mempunyai daya tahan terpaksa mufarakah (terpaksa keluar parti).
"Situasi itulah yang pada hemat saya, saya bukan saja dihujani tetapi saya dilembingi, diterjah dengan lembing bukan saja dari kiri dan kanan, depan belakang tetapi atas dan bawah.
"Ramai orang tidak memahami bagaimana sukarnya mengalami situasi itu," katanya.
Zahid berkata demikian pada program wawancara khas sempena ulang tahun Umno yang ke-74 anjuran Umno Online malam tadi di rumah presiden Umno.
Program yang turut disiarkan secara langsung menerusi media sosial Facebook Live itu dikendalikan oleh Noor Azizan Abdul Majid sebagai moderator.
Menurut Zahid, beliau dapat melalui suasana getir selepas PRU14 kerana pernah berhadapan pengalaman sama ketika ditahan ISA pada 1998 dahulu ketika peristiwa pemecatan Anwar Ibrahim daripada Umno.
"Ketika itu saya turut dimangsakakan dengan pelbagai pertuduhan dan ketika itu ISA digunakan untuk memangsakan saya," katanya lagi.
Ketika itu, Zahid ialah ketua pemuda Umno dan perdana menteri ialah Dr Mahathir Mohamad.
Menjelaskan lanjut, katanya 22 bulan tempoh kerajaan PH itu walau pun singkat tetapi "sebenarnya dirasa cukup panjang" apabila "Umno diuji" dan "pemimpinnya diheret ke mahkamah dengan pelbagai pertuduhan."
Pada wawancara itu juga, Zahid berulang kali mengingatkan pemimpin Umno perlu mempunyai daya tahan.
Dakwanya, terdapat pihak yang "cuba memecahkan Umno dari luar dan tidak kurang juga yang mahu memecahkan Umno dari dalam."
"Baru dua bulan kita bersama kerajaan baru sekarang. Kita akan terus diuji, kita akan diserang dari luar dan yang paling bahaya apabla kita dipecahkan dari dalam," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai