Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Calon MB Kedah belum muktamad - Naib presiden PAS

Naib Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan bahawa partinya masih belum memuktamadkan calon untuk dilantik menjadi menteri besar Kedah yang baru.

Jelasnya, ini kerana perbincangan mengenai perkara tersebut masih dilakukan dan pimpinan parti baru saja mengadakan pertemuan pada hari ini bersama semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Kedah dan pimpinan parti negeri.

"Hari ini, (pimpinan) jumpa Adun PAS dan Umno Kedah. Bincang macam-macam perkara (termasuk) urusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dan sebagainya.

"Calon menteri besar terserah kepada Tuanku (Sultan Kedah), sekarang masih ada menteri besar. Buat masa ini, Mukhriz (Mahathir) masih menteri besar," katanya seperti dipetik portal BH Online.

Terdahulu, Ahmad Samsuri yang juga menteri besar Terengganu dan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, mengadakan pertemuan denganbersama kepimpinan PAS dan Umno Kedah.

Dipercayai, pertemuan itu bagi membincangkan peralihan kuasa kerajaan negeri.

Pengerusi Umno negeri, Jamil Khir Baharom; Pesuruhjaya PAS negeri, Ahmad Yahaya dan Ketua Pembangkang DUN Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor turut hadir pertemuan itu.

Rabu lalu, PAS Kedah menyuarakan keyakinan untuk mengambil alih kerajaan negeri tersebut daripada Pakatan Harapan (PH) yang kini dipimpin oleh Mukhriz Mahathir.

Keyakinan itu bersandarkan kerjasama Muafakat Nasional antara PAS dengan UMNO yang kini memiliki 17 kerusi DUN, selain masalah yang didakwa berlaku dalam kalangan Adun PH.

Sementara itu, Takiyuddin yang ditanya spekulasi mengenai pertukaran menteri besar Kedah, juga berkata pihaknya menyerahkan perkara itu kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

“Itu atas Sultan,” katanya ringkas.

Ketika ini, komposisi DUN Kedah menyaksikan PAS menguasai 15 kerusi, PKR (tujuh), Bersatu (enam), Amanah (empat), DAP (dua) dan Umno (dua).