Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Polisi kerajaan mengenai Covid-19 tak menentu, kata MMA

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berasa bimbang dengan polisi tidak menentu Putrajaya dalam menangani Covid-19 sehingga menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pekerja, majikan dan doktor.

Presidennya N Ganabaskaran berkata MMA sentiasa menyokong usaha kerajaan berhubung kesihatan awam dan percaya ia berjalan dengan baik semasa memerangi Covid-19.

Namun katanya berkata polisi yang tidak menentu kerajaan semasa membuka kembali ekonomi menimbulkan kebimbangan buat mereka.

"Baru-baru ini, polisi tidak menentu kerajaan tanpa garis panduan jelas mengenai ujian saringan kepada tenaga kerja sebelum perniagaan kembali dibenarkan beroperasi mengikut perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) menyebabkan pemilik perniagaan, pekerja dan doktor di negara ini keliru serta kecewa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebagai contoh, kata beliau, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang pada awalnya hanya melancarkan program ujian untuk pekerja berdasarkan kit ujian cepat antibodi (RTK) beralih ke ujian Reverse Transcriptase - Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).

"Bahkan empat hari lalu semasa pertemuan dengan pihak atasan Perkeso, kami diberitahu bahawa ujian saringan pekerja akan bermula melalui klinik-klinik yang berada di panel program pemeriksaan kesihatan (HSP) mereka.

"Sekarang kami diberitahu bahawa di bawah program saringan Perkeso, hanya metod saringan RT-PCR yang akan digunakan," katanya.

Perlu penyelarasan lebih baik

Ganabaskaran berkata MMA menasihatkan doktor untuk tidak melakukan ujian RTK antibodi tanpa panduan jelas mengenai penggunaan, pencegahan jangkitan, protokol kawalan dan kriteria kuarantin disediakan oleh Kementerian Kesihatan.

"Menambah lagi kekeliruan mengenai ujian pekerja ialah pengumuman Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dua hari lalu bahawa syarikat-syarikat boleh meneruskan operasi perniagaan dari 4 Mei tanpa surat persetujuan kementerian dan pemeriksaan pekerja Covid-19 bukan mandatori.

"Ini bertentangan dengan pengumuman sebelumnya mengenai syarat ujian saringan untuk semua pekerja.

"Pemegang taruh sekarang bingung mengapa ujian saringan diperlukan dulu tetapi kini tidak lagi diperlukan; berasa tidak selamat dengan penularan wabak Covid-19 masih banyak terjadi," katanya.

Presiden MMA, N Ganabaskaran

Beliau juga mendesak kerajaan agar bersikap jelas mengenai polisinya berhubung ujian saringan terhadap pekerja asing.

"Kami merayu agar kerajaan menyediakan garis panduan yang lebih jelas dan tepat bagi memastikan kelancaran pelaksanaan SOP kerana ramai masih tidak tahu apa langkah yang perlu diambil seterusnya.

"Penyelarasan yang lebih baik di antara kementerian juga diperlukan.

"Kami percaya kekeliruan mengenai ujian saringan terhadap pekerja tidak akan terjadi jika pengumuman dibuat setelah menerima garis panduan daripada Kementerian Kesihatan.

"Penjagaan kesihatan dikawal selia dengan rapi. Garis panduan mesti ada sebelum pengumuman bagi program-program yang begitu luas," katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.