Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

China kesan 14 kes Covid-19 baru, wilayah status risiko tinggi muncul semula

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China melaporkan 14 kes Covid-19 baru yang disahkan pada 9 Mei, yang merupakan jumlah tertinggi sejak 28 April dan meningkat dari hanya satu kes sehari sebelumnya, menurut data yang diterbitkan pada hari Ahad.

Dua daripada kes baru itu adalah kes import. Sementara 12 kes yang lain merupakan jangkitan tempatan, termasuk 11 kes di wilayah timur laut Jilin.

Kes tanpa gejala yang baru dikesan adalah sebanyak 20, yang tertinggi sejak 1 Mei dan meningkat dari 15 berbanding hari sebelumnya, menurut suruhanjaya kesihatan itu.

Bagaimanapun, tidak ada kematian baru yang dilaporkan.

Jumlah kes Covid-19 yang disahkan di China mencecah 82,901 pada 9 Mei, sementara jumlah kematian akibat wabak itu adalah 4,633 orang.

Wilayah Jilin kini meningkatkan tahap risiko koronavirus di kota Shulan dari sederhana kepada tinggi setelah sekumpulan 11 kes disahkan di Shulan.

Langkah itu dilakukan setelah semua kawasan di China dianggap berisiko rendah pada hari Khamis.

- Reuters