Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Speaker DUN Melaka tolak usul KM mahu lucutkan dirinya

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Omar Jaafar menolak empat daripada enam usul yang dikemukakan oleh Ketua Menteri Sulaiman Ali, berkaitan dengan pelucutan jawatan speaker dan dan timbalan speaker sekarang serta pelantikan pengganti mereka.

Omar, yang dilantik semasa pentadbiran Pakatan Harapan pada 19 Julai 2018, berkata, beliau bukan menolak usul itu dengan anggapan bahawa speaker tidak boleh diganti.

"Saya tidak menolak idea bahawa (kedudukan) speaker boleh dikosongkan, tetapi saya menolak bahawa ini dibincangkan semasa prosiding kali ini dengan alasan bahawa, hal itu secara umum disebut dalam perlembagaan dan peraturan mesyuarat.

"Tidak ada prosedur operasi standard (SOP) khusus tentang bagaimana kamu melakukannya, jadi akan ada banyak masalah.

"Saya tidak mahu menentang apa yang termaktub dalam perlembagaan tetapi tidak ada preseden untuk memecat speaker.

"Speaker bukan dilantik, ini adalah jawatan yang dipilih ... dipilih oleh DUN. Jadi bagaimana kita (melucutkan speaker)? " katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Sidang DUN Melaka akan datang dijadualkan pada hari Isnin, 18 Mei, dan dijangka berlangsung selama satu setengah jam bermula jam 9.30 pagi.

Namun, kata Omar, beliau telah meluluskan dua usul lain dari ketua menteri, satu mengenai pelantikan seorang senator dan satu lagi mengenai pelantikan ketua untuk tiga jawatankuasa.

Omar juga berkata, bahawa dia telah menerima notis kecemasan hari ini dari bekas ketua menteri Adly Zahari berkaitan dengan Covid-19, yang juga telah diluluskannya.

[Laporan penuh menyusul]