Perkeso: 6 sebut harga diterima, BP menang kontrak ujian saringan
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerima enam sebut harga bagi kontrak ujian saringan Covid-19 terhadap pekerja sebelum memilih syarikat BP Healthcare bagi tujuan itu.
Dalam satu kenyataan kelmarin, Socso berkata, pemilihan tersebut berdasarkan beberapa kriteria termasuk kesediaan melakukan ujian, jangkauan perkhidmatan, pengiktirafan Kementerian Kesihatan dan juga harga ujian itu sendiri.
"Ini yang menyebabkan pelantikan pembekal semasa bagi Fasa 1 PSP (Program Saringan Prihatin)," kata Perkeso di laman Facebook rasminya.
Kerajaan sebelum ini mengarahkan ujian saringan terhadap pekerja dilakukan susulan pembukaan semula sektor ekonomi selepas pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19.
Bagaimanapun Perkeso menerima kritikan kerana hanya melantik BP Healthcare bagi tujuan itu.
Laman berita perubatan CodeBlue memetik para doktor sebagai berkata pengamal perubatan perlu terlibat dalam ujian berkenaan bagi mengelakkan masalah perlu beratur panjang dan pelaksanaan penjarakan sosial yang lemah.
Tinjauan Malaysiakini hari ini mendapati beberapa pekerja mengadu mereka tidak boleh mendapatkan temujanji untuk membuat ujian saringan, manakala yang lain diberitahu keputusan akan mengambil masa sehingga dua minggu.
Seorang pegawai makmal berkata kelewatan itu disebabkan oleh jumlah yang tinggi menjalani saringan.
BP Healthcare kini menjalankan ujian saringan terhadap pekerja menggunakan kaedah RT-PCR (Reverse Transcriptase Polymerase Chain Reaction), yang mengambil lebih banyak masa untuk mendapatkan keputusan.
Perkeso pada Rabu lalu menjelaskan kit ujian pantas yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan tidak mudah diperolehi.
Oleh itu, Perkeso memutuskan fasa pertama pemeriksaan akan menggunakan kaedah RT-PCR, sementara menunggu penghantaran kit ujian pantas bagi ujian pada fasa akan datang.
Selain BP Healthcare, enam syarikat lain mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan untuk menjalankan ujian berkenaan.
Setakat tengah hari ini terdapat sebanyak 1,564 kes aktif Covid-19 di negara ini, dengan 68 kes baru dilaporkan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai