Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

'Guna piawaian WHO - 50 mg kandungan alkohol dianggap mabuk'

Kerajaan disaran meneliti semula penetapan paras kepekatan alkohol bagi mengesan pemandu mabuk, kata pensyarah Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Kulanthayan KC Mani.

Katanya, kerajaan disyorkan mengguna pakai piawaian antarabangsa seperti yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu 50 miligram (mg) kandungan alkohol dalam 100 mililiter (ml) darah.

"Ketika ini had batasan alkohol untuk mengesan pemandu mabuk yang diguna pakai di negara kita ialah 80mg kandungan alkohol dalam 100ml darah. Kerajaan perlu menurunkan paras kandungan ini kepada 50mg alkohol dalam 100ml darah," katanya kepada Bernama.

Beliau yang bersetuju dengan usaha kerajaan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap pemandu mabuk berkata, pemanduan di bawah pengaruh juga perlu dilihat secara meluas.

"Pemanduan di bawah pengaruh bukan hanya melibatkan pemanduan dengan alkohol, tetapi juga penggunaan dadah dan ubat, kerana ketiga-tiga elemen ini akan memberi kesan

dan risiko sama terhadap pemanduan, yang boleh menyebabkan kematian atau kecederaan kepada pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Kulanthayan berkata, kaedah saringan pemandu mabuk di lapangan yang paling cepat dapat dikesan adalah menerusi pernafasan, berbanding ujian air kencing dan ujian kandungan alkohol.

"Justeru, saya cadangkan agar pembelian aset peralatan ujian pernafasan ditingkatkan, bagi membantu agensi penguatkuasa meningkatkan aktiviti saringan pemanduan mabuk," katanya.

Sementara itu, pakar sosial yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran menyarankan, kerajaan mengenakan hukuman yang lebih berat kepada pemandu mabuk di negara ini.

"Negara mempunyai undang-undang yang melarang individu memandu dalam keadaan mabuk, kerana ia boleh mengundang bahaya kepada pemandu serta orang lain, sehingga membabitkan kematian.

"Hukuman berat yang setimpal bagi memberi pengajaran kepada masyarakat perlu dikenakan, kita tidak mahu orang lain terutamanya anggota barisan hadapan yang menjadi mangsa golongan tidak bertanggungjawab," katanya.

Mohammad Shatar berkata, sesetengah negara maju mengenakan hukuman berat terhadap pemandu mabuk, sehingga boleh membawa kepada penjara seumur hidup.

Isnin lalu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) akan diteliti semula, supaya mereka yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan pengguna jalan raya lain, dikenakan hukuman lebih berat.

Ketika ini, Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan, berkaitan memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah dan menyebabkan kematian atau kecederaan kepada mana-mana orang, memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang RM8,000 dan tidak lebih RM20,000.

Pada Ahad, seorang anggota polis Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, maut dirempuh sebuah pacuan empat roda dipandu pemandu disyaki mabuk, dalam kejadian berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS).

- Bernama