PKP: Pengangguran paling tinggi sejak 10 tahun - Jabatan Perangkaan
Penganggur di Malaysia meningkat 17.1 peratus kepada 610,500 orang dengan kadar pengangguran 3.9 peratus pada Mac 2020, menurut statistik utama tenaga buruh, keluaran Jabatan Perangkaan.
"(Ini) berbanding 521,300 ribu orang bulan yang sama tahun 2019.
"Kadar pengangguran pada bulan Mac 2020 meningkat kepada 3.9 peratus. Kadar pengangguran yang tertinggi ini dipengaruhi terutamanya oleh impak negatif Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke atas pasaran buruh.
"Kadar pengangguran tertinggi negara pernah dicatatkan ialah pada kadar 7.4 peratus pada tahun 1986," kata jabatan itu dalam suatu kenyataan hari ini.
Jabatan Perangkaan juga berkata kadar siswazah menganggur juga "boleh dikaitkan dengan kesan negatif yang disebabkan oleh PKP."
"Daripada jumlah bilangan penganggur tersebut, penganggur siswazah menyumbang sebanyak 29.3 peratus.
"Kategori penganggur bagi kumpulan umur belia 15 hingga 30 tahun mencatatkan kadar pengangguran tertinggi iaitu 6.9 peratus diikuti 31 hingga 45 tahun (1.4 peratus) dan 46 hingga 64 tahun (1.1 peratus),” katanya lagi.
Melihat data yang dikeluarkan oleh jabatan tersebut pada bulan Mei 2011, menunjukkan kadar pengangguran Mac 2020 mungkin lebih tinggi dari bulan April 2009 (3.8 peratus).
Tidak jelas sekiranya angka pada tahun 2009 telah disemak semula sebagaimana angka tahun 2010 dikemaskini pada bulan September 2011.
Sementara itu, jumlah pekerja yang bekerja pada bulan Mac menurun sebanyak 110,000 menjadi 15.23 juta pekerja berbanding pada bulan Februari.
Secara keseluruhan, jumlah pengangguran untuk suku pertama tahun ini berada pada 546,600 meningkat 5.8 peratus berbanding suku yang sama tahun lalu, dan merupakan yang tertinggi sejak suku kedua 2017.
Peningkatan pengangguran mungkin disebabkan oleh syarikat-syarikat yang terpaksa gulung tikar atau memperkecilkan operasi ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19.
Tinjauan oleh Jabatan Perangkaan melibatkan 4,094 syarikat mendapati sebanyak 53.4 peratus firma cuma mempunyai dana yang cukup untuk menampung satu atau dua bulan sekiranya mereka memberikan pekerja cuti bergaji penuh atau separuh gaji.
16.5 peratus lagi syarikat dapat bertahan kurang dari sebulan dalam keadaan sebegitu.
Menurut tinjauan itu, 3.5 peratus syarikat memilih menamatkan khidmat pekerja ketika PKP, atau memberikan pekerja bercuti tanpa gaji (16.5 peratus).
Hanya 33.5 peratus syarikat mempunyai pekerja yang bekerja dari rumah, sementara yang lain terpaksa mengurangkan waktu bekerja dengan gaji penuh (16.5 peratus) atau separuh gaji (5.8 peratus).
Daripada syarikat yang ditinjau itu, 52.1 peratus mendapati bantuan kerajaan membantu mengurangkan beban mereka, sementara 47.9 peratus pula mengatakan ia tidak membantu.
Sebilangan besar syarikat (42.5 peratus) mengatakan akan mengambil masa lebih dari 6 bulan untuk pulih, manakala 1.9 peratus pula terpaksa ditutup kerana wabak Covid-19.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai