Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

‘Lain hakim, lain hukuman ikut budi bicara masing-masing’

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak pernah menjatuhkan hukuman terhadap ibu tunggal B Lisa Christina pertama kali dihukum penjara 30 hari kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).

Sebaliknya sebarang hukuman yang dijatuhkan ke atas pesalah adalah dibuat oleh badan kehakiman dan bukannya kerajaan.

Menjelaskan yang beliau bersimpati dengan hukuman yang dikenakan terhadap ibu tunggal itu, namun katanya ia bukan isu politik meskipun Pakatan Harapan (PH) cuba mempolitikkannya.

"Walaupun saya bersimpati dengan saudari ini, saya nak jelaskan ia bukan isu politik dan orang PH yang cuba membuatkan ini sebagai isu politik patut tahu dua kebenaran ini.

"Satu, bukan kerajaan PN yang jatuhkan hukuman. Hakim yang jatuhkan hukuman dalam mahkamah. Lain hakim, lain hukuman yang dijatuhkan mengikut budi bicara masing-masing.

"Dua, kerajaan PN tidak pernah menukar sebarang hakim atau meminda apa-apa undang-undang sejak PH tumbang. Ketua-ketua hakim yang ada sekarang semuanya ditukar dan dilantik masa PH dahulu termasuk ketua hakim negara," tulis Najib dalam satu hantaran di Facebooknya.

Semalam Lisa memaklumkan dia sudah bersedia dari segi mental untuk menjalani hukuman penuh kerana percaya undang-undang adalah sama untuk semua orang.

Bagaimanapun, apabila dia mula berbual dengan 37 banduan lain di Penjara Kajang, Lisa sedar ada sesuatu yang tidak kena.

"Dalam sel ada 38 orang, termasuk saya dan yang lain semua warga asing, wanita Indonesia. Saya satu-satunya rakyat Malaysia di sana.

"Mereka dijatuhi hukuman kerana (melanggar) PKP dan juga kerana tidak ada permit, tetapi hukuman penjara mereka lebih rendah berbanding saya (dikenakan hukuman) 14 hari. Saya telah dibuli (oleh mereka dalam penjara).

"Hukuman terhadap saya paling tinggi dalam sel, itu sebabnya mereka tanya, kenapa wanita Malaysia dipenjara 30 hari hanya kerana (melanggar) PKP?

"Orang ketawakan saya (dalam penjara), mereka kata saya seorang pembohong," kata Lisa dalam satu sidang media di pusat hhidmat anggota parlimen Batu, P Prabakaran.

Najib berkata, hukuman yang dikenakan terhadap ibu tunggal itu bukanlah satu "buli" dan kerajaan PN tidak seharusnya dipersalahkan.

"Sebab itu, kenapa pulak nak salahkan kerajaan PN?

"Badan kehakiman yang patut jelaskan kenapa ada perbezaan dalam hukuman yang dijatuhkan," tulis Najib lagi.