Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Wujudkan sistem komunikasi rasmi dengan rakyat M'sia di S'pura

Melihatkan kesesakan yang sering berlaku di Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), mungkin ramai yang bertanya sebenarnya berapa ramaikah rakyat Malaysia yang berada di Republik itu?

Cuma setakat ini, soalan yang sering dilontarkan itu belum mendapat jawapan yang tepat.

Rata-rata jawapan yang diterima hanya berdasarkan anggaran trafik harian yang menggunakan kedua-dua jalan darat itu.

Bagaimanapun, data trafik harian juga tidak memberi gambaran tepat sama ada yang menyeberang itu adalah untuk bekerja atau tidak, kerana ada juga yang menggunakan kedua-dua laluan itu bagi tujuan melancong untuk beberapa hari dan ada juga atas urusan harian.

Mungkin sudah tiba masanya untuk diwujudkan satu sistem bagi mengumpul data yang mampu memberi maklumat terperinci perihal rakyat Malaysia yang keluar-masuk ke republik itu serta apakah tujuan mereka ke sana?

Bernama difahamkan sehingga kini tidak ada satu sistem pun yang boleh dijadikan sebagai rujukan bagi menghubungi rakyat kita yang berada di Singapura. 

Keadaan sudah tentunya akan semakin mendesak sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dingini seperti wabak Covid-19 yang turut melanda negara jiran itu.

Bangun sistem sebelum buka sempadan

Mungkin penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia dan Pemutus Rantaian di Singapura bagi menangani “wabak pembunuh” ini dapat membuka ruang untuk mewujudkan sistem berkenaan.

Agensi berkaitan di kedua-dua negara boleh berganding bahu untuk membangunkan satu sistem yang antaranya memudahkan proses untuk menghubungi rakyat Malaysia termasuk ketika situasi tidak dijangka berlaku seperti wabak Covid-19, pada masa hadapan.

Apabila sempadan ditutup berikutan PKP dan pemutus rantaian, rakyat Malaysia di republik itu meminta untuk kembali ke tanahair dan mereka dibenarkan untuk pulang secara berperingkat.

Satu sistem mungkin boleh mula dibangunkan apabila mereka melaporkan diri untuk dikuarantin sebaik sahaja memasuki negeri Johor.

Ketika Malaysia melaksanakan PKP fasa pertama, pihak Singapura mengumumkan kira-kira 10,000 orang rakyat Malaysia yang memegang permit kerja dan berulang-alik ke Republik itu dibantu untuk diberi penempatan sementara.

Namun jumlah itu dilaporkan termasuk juga penduduk tetap Singapura yang turut berulang-alik dari Johor Bahru dan hanya terlibat dengan perkhidmatan asas di negara itu.

Sistem ini perlu dibangunkan segera sebelum sempadan dibuka sepenuhnya selepas tamat tempoh PKP dan pemutus rantaian ini.

Pastinya terdapat rakyat Malaysia yang ingin mencuba nasib bekerja di Singapura dengan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh rakan senegara kerana ada yang tidak mahu kembali semula ke Republik ini atas pelbagai alasan.

Ada yang berasa sudah terlalu letih untuk berulang alik, ada yang mengalami masalah kesihatan, majikan tutup operasi dan tuntutan keluarga.

Tidak kurang juga yang sudah serik berikutan ketidaktentuan disebabkan wabak Covid-19 yang sudah menjangkiti lebih tiga juta manusia di seluruh dunia.

Bukan semua celik IT

Apa yang diperhatikan dalam situasi krisis sebegini, maklumat begitu dinamik, bertukar hampir setiap hari dan maklumat yang terlepas boleh mengubah nasib satu kehidupan.

Rata-rata rakyat Malaysia yang mencari rezeki di negara jiran itu bukanlah kesemuanya celik IT dan masih ada menggunakan telefon bimbit biasa dan bukannya telefon pintar.

Mungkin kisah tukang 'plaster' siling, Pak Cik Ahmad yang berkongsi pengalamannya dengan Bernama boleh dijadikan contoh mengapa satu sistem yang baik bagi memudahkan penyampaian maklumat kepada rakyat Malaysia di Singapura amat perlu diwujudkan segera.

“Ini mungkin kali terakhir saya bekerja di sini,” kata Pak Cik Ahmad yang ditemui terduduk keletihan di luar sebuah klinik di Woodlands pada 6 April, sehari sebelum pelaksanaan Pemutus Rantaian di Singapura.

Penulis berada di klinik itu untuk membuat pemantauan rakyat Malaysia yang mahu mendapatkan surat “fit to travel” sebagai syarat untuk pulang ke tanah air.

Ketika itu beliau bersama rakan-rakan senegara sedang menunggu giliran yang masih panjang untuk berjumpa doktor bagi tujuan tersebut.

Mungkin berat keputusan yang perlu diambil oleh bapa empat orang anak ini kerana kerap dilihat melemparkan renungan jauh ketika diajak berbual.

Pak Cik Ahmad memberitahu penulis, beliau belum makan tengah hari walaupun ketika itu jam menunjukkan hampir pukul 3 petang kerana baru sahaja bergegas dari pejabat majikannya yang masih tidak pasti ingin melepaskan beliau balik atau kekalkannya di sini sepanjang langkah pemutus rantaian dilaksanakan.

“Saya juga tidak dapat buat keputusan dengan jelas.. agak keliru.. maklumat kerap bertukar..terlalu banyak andaian..anak-anak pula merayu saya balik.. bimbangkan kesihatan saya,” kata lelaki berusia 58 tahun ini kepada Bernama.

Pemegang permit kerja ini tinggal sementara di sini sejak PKP fasa pertama dilaksanakan pada 18 Mac tetapi beliau tidak pasti apa akan berlaku pula ketika tempoh Pemutus Rantaian.

Pemutus Rantaian di Singapura yang sepatutnya berakhir pada 4 Mei dilanjutkan sehingga 1 Jun.

“Ada kos yang perlu ditanggung jika kekal di sini. Makan minum, tempat tinggal. Majikan pula terpaksa hentikan kerja-kerja pembinaan buat sementara waktu berikutan Pemutus Rantaian ini,” katanya.

“Saya masih kuat. Saya suka bekerja. Cuma kaki saja gout,” kata lelaki yang berasal dari Kota Tinggi , Johor ini yang sanggup menyewa rumah dua bilik di Johor Bahru bersama seorang rakannya dan berulang- alik untuk bekerja di Singapura sejak 30 tahun lalu.

(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis. Disunting oleh Melati Mohd Ariff)

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.