Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis soal siasat wartawan berhubung ciapan operasi imigresen

Koresponden South China Morning Post di Malaysia, Tashny Sukumaran, hari ini disoal siasat polis berhubung ciapannya mengenai serbuan Jabatan Imigresen di Selangor Mansion, Kuala Lumpur pada 1 Mei lalu.

Kawasan itu diletakkan dalam kategori perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Peguam yang menemani peguam itu ke Bukit Aman pagi tadi, New Sin Yew, berkata anak guamnya disoal siasat selama dua jam mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Kerajaan mengganggu Tashny dengan menyiasat ciapan yang dibuat semasa menjalankan tanggungjawab sebagai seorang wartawan.

"Ini adalah serangan kerajaan ke atas kebebasan media yang sangat penting di waktu krisis ini," katanya kepada Malaysiakini semasa dihubungi.

Seksyen 504 membabitkan kesalahan sengaja mengaibkan dengan niat mahu memecahkan keamanan. Jika disabitkan kesalahan, seseorang itu boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia pula melibatkan kesalahan berkongsi kandungan yang menyinggung perasaan serta mengancam yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

New Sin Yew

Kata New, walaupun Tashny tidak ditanya mengenai laporan yang diterbitkan akhbar harian berpangkalan di Hong Kong itu, wartawan terbabit disoal mengenai ciapannya berhubung serbuan di Selangor Mansion.

Menurut peguam terbabit, telefon wartawan itu juga dirampas selepas selesai disoal siasat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed, sebelum ini berkata polis akan tetap menjalankan siasatan ke atas Tashny walaupun Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah, mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menghentikan siasatan mereka.

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob, berkali-kali menafikan dakwaan berlaku layanan tidak wajar ke atas pendatang asing semasa dan selepas serbuan berkenaan.

Sebaliknya beliau meminta pengkritik "berterima kasih" kepada kerajaan kerana memastikan individu yang ditahan itu diuji negatif untuk Covid-19.

Beliau juga memberitahu, imigran yang melakukan kesalahan mengikut undang-undang negara tidak boleh dibebaskan walaupun selepas PKP berakhir.

[Baca berita penuh]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.