Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

9 sekatan jalan raya awasi pergerakan rentas negeri di Selangor

KORONAVIRUS | Sembilan sekatan jalan raya ditetapkan di Selangor mulai tengah malam ini bagi memeriksa kenderaan dan individu yang terlibat dalam perjalanan rentas negeri, kata Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaludin.

Menurut beliau, polis mengenal pasti lokasi-lokasi penempatan strategik sekatan jalan raya di negeri itu.

“Sekatan jalan raya berkenaan melibatkan kawasan yang bersempadan serta menghubungkan negeri Selangor dengan negeri lain.

"Misalnya, Selangor dengan Negeri Sembilan, Pahang serta Perak," katanya ketika ditemui pemberita di sekatan jalan raya di Kilometer 14 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh di Selayang hari ini.

Menurut Noor Azam, penempatan sekatan jalan raya di sembilan lokasi itu bertujuan memastikan hanya individu yang sah membuat permohonan melalui aplikasi Gerak Malaysia saja dibenarkan melakukan perjalanan rentas negeri.

Beliau berkata sekiranya pemeriksaan mendapati ada individu yang tidak mendapat kebenaran melakukan perjalanan, polis tidak akan membenarkan mereka melepasi sekatan berkenaan.

Polis sebelum ini memaklumkan orang awam boleh melakukan perjalanan rentas antara negeri bermula esok hingga 10 Mei ini selepas membuat permohonan dan mendapat kebenaran melalui aplikasi Gerak Malaysia atau secara manual yang dipaparkan di Facebook dan twitter Polis Diraja Malaysia (PDRM).

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.