AS siap sedia iktiraf kedaulatan Israel di Tebing Barat
GLOBAL | Amerika Syarikat (AS) sudah bersedia untuk mengiktiraf kedudukan Israel di Tebing Barat yang diduduki dalam beberapa minggu lagi, lapor agensi berita Anadolu.
Dalam sesi temu bual dengan akhbar Israel Hayom, Duta AS ke Israel David Friedman berkata beberapa proses perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum perkara itu dilaksanakan.
Temu bual pada Rabu itu sempena ulang tahun kedua perpindahan Kedutaan AS di Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.
"Washington tidak merancang bagi mengenakan syarat baru untuk melaksanakan perkara itu.
"Bukan AS yang mengisytiharkan kedaulatan itu tetapi pemerintah Israel. AS hanya bertindak mengiktirafnya," katanya.
Israel dijangka akan melaksanakan pengilhakan pada 1 Julai, seperti dipersetujui antara Benjamin Netanyahu dan ketua Parti Biru dan Putih Benny Gantz, yang kedua-duanya bersetuju membentuk kerajaan campuran.
Sementara itu, sebuah suruhanjaya Israel-Amerika sedang mengusahakan peta pengilhakan yang akan diiktiraf AS.
Sebahagian besar peluasan penempatan yang ingin dikuasai Israel terletak di Kawasan C merangkumi kira-kira 60 peratus kawasan Tebing Barat di bawah kawalan Israel.
Perjanjian abad ini atau pelan damai Timur Tengah diumum Presiden Donald Trump pada 28 Januari lalu, mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas hampir semua penempatan di Tebing Barat yang diduduki.
Penempatan itu menyalahi undang-undang antarabangsa.
Ia akan meluaskan lagi sempadan Israel yang diiktiraf AS ke timur wilayah Palestin dan kedaulatan rejim Zionis itu di seluruh Baitulmaqdis.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai