Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketika hidup kita dihimpit kesulitan

ULASAN | Kepayahan ekonomi menekan semua insan. Apatah lagi golongan berpendapatan rendah dan warga miskin, tanpa mengira keturunan dan agama.

Kita telah melihat gambar orang ramai beratur panjang di luar kedai pajak gadai pada hari pertama perintah kawalan pergerakan (PKP) dilonggarkan setelah sebulan dikuatkuasakan dengan tegas.

Tidak kiralah mereka ke sana untuk menggadai atau menebus barang kemas masing-masing, yang pasti ia berkait dengan ‘pilihan pembiayaan terakhir’ sebelum ada antara mereka yang akan terpaksa mengambil langkah seterusnya untuk meminjam dengan ah long.

Saya faham keperitan ini.

Ibu saya pernah menjual tiket loteri selepas bapa saya mengalami kerugian besar dalam perniagaan kecilnya. Ketika saya berusia antara 12 hingga 14 tahun, saya juga menjual tiket loteri di jalanan.

Kerana kebanyakan jualan tiket itu dibuat di tempat-tempat makan, musim tengkujuh dan hujan berpanjangan di hujung tahun yang membuatkan orang tinggal di rumah turut bererti jualan kami tidak begitu baik, dan keluarga kehilangan punca pendapatan. Dan kami tidak ada penampan (buffer).

Apabila saya terkenang kembali saat-saat itu, saya bersyukur kerana kami hanya hilang pendapatan satu minggu. Ya kami menderita, tapi saya lebih resah memikirkan kesan ekonomi yang ditanggung begitu ramai rakyat Malaysia ekoran terkurung selama hampir 50 hari lantaran PKP.

Terbayang rumah dikelilingi kubur

Rakyat di tingkat bawah kelas ekonomi - terutamanya yang bekerja dalam sektor tidak formal seperti ibu bapa saya - selalunya lebih rentan dan terpaksa bergelut untuk kembali hidup seperti sedia kala.

Krisis ekonomi terburuk negara berlaku pada 1985. Tetapi keluarga saya juga tidak begitu selesa pada waktu-waktu kemakmuran ekonomi di dekad 1990-an.

Bersusah-payah mendapatkan tunai RM50 bagi melunaskan cek RM10,000 yang dikeluarkan lebih awal kepada agensi pemborong yang mengedarkan tiket loteri kepada kami adalah antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Pada hari-hari yang malang - ketika wang tunai RM50 itu tidak sempat diperolehi - terpaksalah kami berkunjung ke kedai pajak gadai sebagai pilihan terakhir; yang melibatkan barang kemas perkahwinan ibu saya.

Sehingga hari ini saya bersyukur ibu bapa saya tidak terpaksa meminjam ah long, walaupun idea itu ada dipertimbangkan apabila keadaan betul-betul mendesak.

Saya turut berasa lega kerana kami tidak pernah terpaksa berpindah dari rumah batu setingkat di tengah bandar, walaupun bapa saya memberitahu bahawa kalau keadaan bertambah buruk, kami mungkin perlu pulang ke rumah keluarganya di kampung.

Sebagai seorang budak, hal itu melekat di fikiran saya berbulan lamanya. Rumah itu dikelilingi kubur di tanah perkuburan di belakang Istana Negara lama.

Ada sekali, sewaktu saya berusia 11 tahun (1988), kami putus duit untuk membeli beras selama seminggu. Bapa saya bekerja di negeri lain pada waktu itu.

Jadi saya dan ibu memikul stok sabun mandi dan sabun baju dari sebuah perniagaan multilevel markerting (pemasaran pelbagai peringkat) yang kami sertai.

Nasib rakyat sebelum keuntungan

Kami berjalan sejauh tiga kilometer menaiki bukit ke kawasan perumahan banglo berdekatan, menekan loceng setiap rumah untuk menjual barangan kami, demi mendapatkan wang sebanyak mungkin.

Sakitnya saya rasa sehingga ke hari ini.

Ibu bapa saya bekerja keras sepanjang hidup mereka. Kadang-kadang kami berasa seperti hujan pun turut memusuhi kami; kerana keadaan kami yang tidak mempunyai jaring keselamatan.

Kegetiran itu menjadi inspirasi untuk saya terlibat dalam politik. Saya tidak mahu orang lain melalui kesusahan seperti yang dilalui ibu bapa saya.

Tiga puluh tahun kemudian, Malaysia dan seluruh dunia terkurung akibat wabak Covid-19. Dalam tempoh PKP ini, saya resah memikirkan nasib anak-anak berusia 12 tahun yang datang dari latar keluarga berpendapatan rendah.

Kita harus sentiasa beringat bahawa pekerjaan informal tidak bermula dengan ekonomi gig yang begitu trendy sejak beberapa tahun lalu. Untuk kebanyakan daripada kita, ibu bapa dan datuk nenek terpaksa melalui saat sukar bertahun-tahun lamanya, sebelum istilah ekonomi gig itu tercipta.

Saya merayu kepada mereka yang berkuasa - kepada kerajaan - lakukanlah apa sahaja yang termampu. Utamakan rakyat sebelum keuntungan.

Dalam soal menjamin pekerjaan, tempat tinggal dan makanan, walaupun mungkin berisiko untuk melakukannya secara berlebihan, tolonglah. Lakukan sahaja.

Para kuasawan mungkin tidak pernah mengalami kehidupan yang terdesak, tetapi tunjukkan sifat empati dan bertindak atas sifat itu.

Pada musim wabak itu, kita kembali kepada perkara asas: jamin peluang pekerjaan, perumahan dan makanan, serta penjagaan kesihatan.


LIEW CHIN TONG ialah anggota Dewan Negara dan bekas timbalan menteri pertahanan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.