Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

‘Kalau nak habiskan RM400 juta, hari ini pun boleh'

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah menegaskan, dana RM400 juta kepada kerajaan negeri yang disalurkan oleh kerajaan pusat ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah sebelum ini tidak akan digunakan secara semberono.

Sebaliknya katanya, wang tersebut akan digunakan untuk perbelanjaan pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat seperti yang diumumkan sebelum ini.

"Dana RM400 juta ini seperti kita putuskan sebelum ini, untuk perbelanjaan infrastruktur, baiki rumah, dan bina rumah orang-orang miskin. Kita guna untuk perkara macam itu.

"Sebab itu kita simpan untuk tujuan seperti itu. Yang diguna untuk bantuan dalam tempoh PKP (perintah kawalan pergerakan) kita guna dana lain," katanya kepada media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan, JKR10, Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pemimpin Amanah Kelantan yang menggesa supaya dana RM400 juta itu digunakan untuk membantu rakyat kebanyakan yang terjejas susulan wabak Covid-19 yang melanda negara.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Naib Pengerusi Amanah Kelantan Rushdan Mustafa mempersoalkan sampai bilakah wang one-off yang diberikan oleh kerajaan persekutuan semasa era PH memerintah itu mahu disimpan sedangkan ada ramai rakyat memerlukan bantuan khususnya pada Ramadan ini.

Sementara itu mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, jika wang tersebut dihabiskan segera banyak perkara lain tak boleh dibuat selepas ini.

"Boleh kalau nak kita habiskan, tapi selepas ini kita tak boleh buat benda lain.

"Kalau orang nak kita habiskan, hari ini pun boleh nak habiskan RM400 juta. Tetapi selepas ini? Isunya bukan nak bagi bantuan saja, banyak lagi perkara lain perlu diberi pertimbangan," jelasnya.