Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

‘Denda RM1,000 pada VIP tak sama dengan hukuman sama pada B40’

Biro guaman dan undang-undang Pemuda PKR menggesa pendakwa raya membuat rayuan terhadap hukuman kepada orang kenamaan (VIP) kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) yang menurut mereka tidak seimbang.

Menurut pergerakan itu, dalam sesetengah kes, denda RM1,000 tidak cukup untuk pencegah kesalahan jika dibandingkan dengan hukuman serupa kepada pihak berpendapatan rendah.

"Jika dibandingkan dengan rakyat bawahan yang menerima gaji minimum atau dalam lingkungan B40, pastinya hukuman denda sekadar RM800 hingga RM1,000 tidak akan memberi impak dan kesan pencegahan deterrent effect terhadap golongan VIP ini.

"Kami sedia maklum dengan kuasa menghukum merupakan budi bicara badan kehakiman dan harus dihormati.

"Walau bagaimanapun, pendakwa raya yang bertindak sebagai penjaga kepentingan awam harus juga mengambil serius terhadap perkara ini bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang sama ada dalam kalangan rakyat biasa mahupun kumpulan-kumpulan yang setaraf golongan VIP ini.

"Oleh itu, kami memohon supaya pihak pendakwa raya boleh meneliti balik kes-kes yang melibatkan golongan VIP dan mengambil tindakan yang sewajarnya termasuk membuat rayuan terhadap keputusan yang dijatuhkan demi menjaga kepentingan awam dan menjamin kedaulatan undang-undang," katanya dalam satu kenyataan.

Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 memperuntukkan denda maksimum RM1,000, penjara hingga enam bulan, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semalam, anak presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Nurulhidayah dan suaminya Saiful Nizam Mohd Yusoff dikenakan hukuman denda sebanyak RM800 selepas didapati bersalah melanggar PKP pada 20 April lalu.

Sebelum itu, Timbalan Menteri Kesihatan Noor Azmi Ghazali dan exco Perak Razman Zakaria, masing-masing didenda RM1,000 setelah mengaku bersalah atas tuduhan serupa di Perak.

Kes-kes VIP ini menjadi perbandingan dengan rakyat biasa, ketika ada antara mereka dikenakan hukuman penjara.

Minggu lepas, seorang ibu tunggal dijatuhkan hukuman penjara 30 hari kerana melanggar PKP, digantikan dengan denda RM1,000 oleh Mahkamah Tinggi di Shah Alam selepas lapan hari di penjara.

Pada 8 April Mahkamah Tinggi Taiping mengurangkan hukuman terhadap dua individu daripada penjara selama tiga bulan atas alasan tidak mampu membayar denda kepada kerja-kerja khidmat masyarakat selama tiga bulan kerana ingkar PKP.

Sementara itu, biro guaman Pemuda PKR juga menyelar sekatan terhadap sesetengah pengamal media untuk membuat liputan ketika prosiding melibatkan kes Nurulhidayah.