Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sudah sampai masa cerdaskan semula ekonomi - Azmin

Keputusan kerajaan membuka semula ekonomi dibuat berdasarkan data dan penyelidikan yang dijalankan oleh pelbagai pihak dan agensi, kata menteri kanan Azmin Ali.

Azmin menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa keputusan berkenaan dibuat secara terburu-buru berikutan beberapa negeri tidak bersedia membuka semula sektor ekonomi.

"Saya nak nyatakan ini bukanlah satu keputusan yang mudah untuk diambil oleh kerajaan. Kita ambil keputusan secara berhati-hati dan teliti dan responsible.

"Keputusan ini didukung oleh data-data dan kajian yang telah dibentang oleh BNM, Khazanah Nasional, MOF (Kementerian Kewangan) dan MITI (Kementerian Perdagangan, Antarabangsa dan Industri), "katanya dalam satu temu bual dengan Astro Awani malam tadi.

Azmin menegaskan bahawa sektor ekonomi telah dibenarkan beroperasi secara berperingkat, bermula dari barangan keperluan asas dan perkhidmatan semasa fasa pertama dan kedua perintah kawalan pergerakan (PKP) dan lebih banyak sektor dalam fasa ketiga.

"Maka sudah sampai masa kita mencerdaskan semula dan memulakan aktiviti ekenomi," katanya.

Beliau turut menjelaskan keputusan kerajaan dibuat selepas berunding dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (MOH).

"Kita dapat maklumat dan penjelasan dari MOH. PKP bukan bertujuan untuk sampai ke tahap tak ada kes langsung. Covid-19 akan berada dengan kita untuk tempoh yang panjang.

"Tapi yang paling penting, bagaimana sistem kesihatan kita dapat bendung (Covid-19)," jelasnya.

Beliau juga sekali lagi menegaskan sekiranya PKP dilanjutkan dan aktiviti ekonomi ditutup sehingga Jun, negara dijangka mengalami kerugian sehingga RM164 bilion.

'Tak adil untuk Makcik Kiah, Pakcik Salleh'

Azmin juga mempertahankan keputusan itu dengan mengambil kira negeri-negeri yang telah diisytiharkan sebagai zon hijau dan peniaga kecil seperti 'Makcik Kiah' dan 'Pakcik Salleh' perlu mendapatkan sumber pendapatan.

"Bagaimana penjelasan untuk negeri yang dah lebih dua minggu di negeri yang zon hijau? 

"Mengapa negeri-negeri berkenaan masih enggan untuk bekerjasama bagi memulakan aktiviti ekonomi? Apakah adil kepada peniaga-peniaga kecil seperti Makcik Kiah dan Pakcik Salleh, dilarang berniaga untuk cari mata pencarian bagi keluarga, sedangkan keadaan sudah bersih dari Covid?" soalnya.

Bagaimanapun, Azmin berkata kawasan yang dikenal pasti sebagai zon merah  masih tidak dibenarkan untuk membuka semula sektor ekonomi.

Beliau berkata sekiranya keputusan tidak bertanggungjawab diambil, banyak perniagaan kecil dan sederhana akan ditutup, kadar pengangguran meningkat dan pasaran eksport akan terjejas teruk.

Menyedari sektor pelancongan dan hotel juga menerima kesan, Azmin berkata pendekatan komprehensif perlu diambil.

Bagaimanapun beliau percaya sektor pelancongan akan pulih semula apabila rakyat Malaysia bercuti di dalam negara.

"Kementerian pelancongan sedang merangka satu kertas untuk dibincang dalam mesyuarat jemaah menteri. Sektor pelancongan penting untuk tingkatkan lagi pendapatan negara. Namun dengan berlaku Covid-19, ia antara sektor yang paling parah terjejas.

"Walaupun kita lihat beberapa pendekatan, tapi satu pendekatan lebih komprehensif perlu. Namun saya sedikit optimistik kerana rakyat pasti ingin melancong di dalam negara. Mungkin di peringkat awal, bagaimana kita boleh tingkatkan produk-produk pelancongan.

"Medical tourism, sport tourism, ini antara yang Malaysia boleh beri tawaran terbaik.

"Pastinya peluang untuk tarik pelancong untuk menjalani rawatan dan khidmat kesihatan, begitu juga sukan yang boleh kita tingkatkan," jelasnya.

Pada 1 Mei lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa aktiviti ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan besar akan dibenarkan beroperasi semula.

Bagaimanapun, beberapa negeri mengkritik keputusan itu dan enggan melaksanakan PKP bersyarat (PKPB) bagi membuka semula sektor ekonomi mereka.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.