Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

APMM tahan 4 lagi dalang seludup etnik Rohingya ke Malaysia

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan empat lagi lelaki warga Myanmar yang disyaki menjadi dalang dalam penyeludupan 202 etnik Rohingya ke negara ini di perairan Langkawi pada 5 April lepas.

Timbalan Pengarah Operasi APMM Kedah dan Perlis Kapt Maritim Zulinda Ramly berkata mereka ditahan hasil maklumat daripada dua lelaki warganegara sama yang telah ditahan sebelum ini iaitu pada 16 dan 18 April lepas di Simpang Empat dan Guar Chempedak dekat Yan.

Keempat-empat suspek berumur 24 hingga 53 tahun itu ditahan secara berasingan pada Ahad di Simpang Empat dan Kota Sarang Semut, di sini serta di daerah Pendang.

“Kesemua mereka ditahan reman selama 14 hari dan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam sidang media di Alor Setar, Kedah hari ini.

APMM masih memburu dua lagi suspek yang telah dikenal pasti menjadi dalang utama mengatur kemasukan pendatang asing khususnya etnik Rohingya ke negara ini.

Zulinda berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan penglibatan rakyat tempatan dalam sindiket itu. Bagaimanapun, perkara itu masih dalam siasatan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Zulinda berkata APMM telah menahan dua nelayan tempatan selepas menemui 12 beg plastik berisi daun ketum seberat 150 kilogram yang dianggar bernilai RM9,000 di atas bot mereka di muara Sungai Baru, Perlis, petang semalam.

Dua lelaki itu yang berumur 24 dan 35 tahun ditahan ketika pihaknya melakukan rondaan di kawasan itu menerusi Op COVID-19 Laut sempena Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selepas menerima aduan orang awam.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

- Bernama