Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kerajaan digesa peruntuk dua senator wakili OKU

Sekurang-kuranganya dua jawatan anggota Dewan Negara perlu diperuntukkan bagi mewakili orang kurang upaya (OKU), kata Presiden Persatuan Kesihatan Mental, Dr Andrew Mohanraj.

Menurut Mohanraj, ia perlu bagi memberi penekanan kepada isu-isu yang melibatkan golongan terbabit.

Bercakap kepada Malaysiakini, Mohanraj berkata sehingga hari ini terdapat beberapa pihak berkepentingan meminta dua atau tiga kekosongan jawatan tersebut diperuntukkan kepada individu yang mewakili komuniti OKU dan sekurang-kurangnya satu tempat untuk mewakili OKU mental.

Katanya, ini kerana ada kecenderungan untuk isu-isu kesihatan mental di arus perdana dilihat melibatkan pelbagai sektor dan pihak berkepentingan, maka dengan adanya perwakilan di Dewan Negara isu berkaitan dapat diketengahkan.

Mohanraj berkata, keperluan itu mendesak kerana ketika ini tidak ada wakil di Dewan Rakyat atau Dewan Negara yang berpengetahuan atau pakar dalam kesihatan mental yang boleh memantau (ombudsman).

"Persatuan Kesihatan Mental Malaysia meminta kerajaan baru untuk meneliti permintaan persatuan kami dan pihak berkepentingan yang sependapat untuk mempertimbang melantik individu yang mewakili komuniti kami di dewan tertinggi.

"Ini juga akan memberi isyarat kepada dunia luar bahawa Malaysia serius dalam memastikan wakil komuniti yang bukan hanya OKU tetapi OKU mental," katanya.

Mohanraj juga berkata sudah tiba masanya untuk kerajaan mempertimbangkannya lebih-lebih lagi ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) ini, yang mana masalah kesihatan mental dilaporkan semakin meningkat, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat dunia.

Katanya, beliau maklum bahawa kepimpinan dalam bidang kesihatan mental adalah penting untuk menggembeleng semua pihak berkepentingan dalam membina sebuah masyarakat yang lebih mampan.

Mohanraj berkata Malaysia perlu mengambil teladan daripada beberapa negara yang tidak sekadar melepaskan batuk di tangga dalam aspek perundangan dan benar-benar serius dalam isu kesihatan mental dengan mewujudkan jawatan yang bersesuaian di peringkat eksekutif.

Beliau menegaskan bahawa wujud keperluan bersepadu di cabang eksekutif untuk menghimpunkan pertubuhan sosial dan NGO, majikan, industri insurans, dan penyedia penjagaan kesihatan swasta untuk menangani isu kesihatan mental.

"Kami berpendapat bahawa kerajaan baru akan memberi isyarat jelas dalam melantikan 'Timbalan Menteri Kesihatan Mental dan Kesejahteraan Rakyat'.

"Ada presiden yang akan melihat ia secara global - Scotland umpamanya mempunyai menteri kesihatan dalam bidang kesihatan mental dan begitu juga dengan Australia Barat. Terdapat perwakilan di badan perundangan dan eksekutif selain tambahan pemantau (ombudsman).

"Di tempat-tempat seperti itu, merasakan bahawa masalah kesihatan mental tidak hanya dilihat sebagai sebahagian dari masalah kesihatan tetapi isu yang meluas dan ia perlu dilihat melangkaui ruang lingkup kesihatan," katanya.

"Mungkin ada yang berpendapat bahawa Malaysia mungkin tidak bersedia untuk membayangkan dan menggunakan portfolio ini sama ada ia akan membawa kesan besar atau tidak. Sementara itu, ada sebuah tempat di dewan tertinggi yang akan memberi jaminan kepada komuniti OKU ini bahawa pentadbiran kerajaan baru ini mempunyai kepentingan di sektor kesihatan mental," tambah Mohanraj.

Mohnaraj berkata demikian sebagai menjawab artikel Malaysiakini pada 3 Mac lalu bahawa senarai panjang kekosongan Dewan Negara sengaja dibuka untuk membolehkan pemerintah baru bebas memilih menteri atau timbalan menteri untuk dilantik sebagai senator.

Bercakap kepada Malaysiakini, salah satu sumber mendakwa bahawa kelewatan mengisi 16 jawatan anggota Dewan Negara telah menyebabkan peluang PH untuk menjadi dominan.

Kelebihan itu kini berpihak kepada kerajan PN yang dipimpin oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Antara kekosongan ini melibatkan tempat yang disediakan untuk K Bathmavathi yang tamat perkhidmatanya pada 18 Oktober tahun lalu.

Pelantikan senator adalah selama tiga tahun, dengan maksimum dua penggal.