Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Adun PKR minta k'jaan Perak benarkan bazar Ramadan bersyarat

Adun Hulu Kinta Muhamad Arafat Varisai Mahamad hari ini menggesa kerajaan negeri Perak untuk memberikan kebenaran bersyarat untuk membuka bazar Ramadan di negeri itu.

Ini kerana menurutnya cadangan bazar Ramadan dalam talian tidak mendapat sambutan hampir 1,500 penjaja di Ipoh yang telah hilang punca pendapatan.

"Saya menggesa kerajaan negeri supaya memberikan kebenaran bersyarat kepada penjaja-penjaja bazar Ramadan beroperasi sekurang-kurangnya menjelang 15 hari Ramadan yang terakhir.

"Kalau boleh saya minta Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membenarkan bazar Ramadan bersyarat di seluruh negara," katanya kepada Malaysiakini.

Muhamad Arafat berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan menyerahkan kertas cadangan kaedah pelaksanaan bazar Ramadan kepada MKN negeri Perak semalam.

Beliau menyerahkan kertas cadangan pelaksanaan bazar Ramadan bersama Persatuan Penjaja-Penjaja Kecil Pasar Malam Bergerak Bahagian Kinta (Payung), Persatuan Penjaja Kecil Melayu Perkasa Negeri Perak dan Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh (PUBI).

"Saya bersama beberapa wakil persatuan penjaja menyerahkan kertas cadangan kepada MKN negeri untuk dipertimbangkan dan diangkat ke MKN pusat," katanya.

Beliau juga Ketua Penerangan PKR Perak berkata bahawa tidak terburu-buru dalam meminta kebenaran pelaksanaan bazar Ramadan.

"Apakah risiko penularan wabak Covid-19 akan menjadi lebih tinggi kepada rakyat yang mengunjungi bazar Ramadan walaupun hanya dengan membungkus juadah dan balik ke rumah berbanding mereka yang makan dan minum serta melepak di premis makanan?" soalnya.

"Sebagai contoh setiap pasar basah mempunyai puluhan peniaga seperti peniaga ikan, ayam daging, sayur-sayuran dan sebagainya. Pasar basah ini dikunjungi ratusan rakyat setiap hari bagi membeli dan mendapatkan bekalan keperluan asas harian.

"Pasar masih boleh dibenarkan beroperasi dengan kerajaan mengawal keadaan dan menguatkuasakan beberapa peraturan. Jika ini dapat dilaksanakan, mengapa bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi mengikut SOP dan kaedah pematuhan peraturan yang sama?" soalnya lagi.

Menurutnya, usaha kerajaan menyediakan platform bazar Ramadan dalam talian juga tidak mendapat sambutan dari penjaja dan juga pembeli.

"Apabila Ramadan bermula ketika tempoh PKP dilaksanakan, penjaja-penjaja bazar Ramadan hanya dapat meneruskan penjualan mereka melalui pesanan dalam talian dan penghantaran pesanan dan pembayaran melalui kaedah COD (cash on delivery).

"Namun begitu penjualan yang dilakukan masih tidak dapat menampung perbelanjaan harian termasuk gaji pekerja kerana hasil jualan tidak seperti yang dijangkakan.

"Sebagai contoh di negeri Perak 'Smart Iftar' yang dilancarkan oleh kerajaan negeri kurang berjaya dan setakat ini hanya melibatkan tidak lebih dari 700 penjaja yang mendaftar sedangkan lebih daripada 1500 penjaja di bandaraya Ipoh."

"Ini di Ipoh sahaja. Saya diberitahu bahawa seluruh Malaysia hampir 26,000 penjaja hilang punca pendapatan," katanya lagi.

Penjaja tidak dapat 'catch up'

Ketika dihubungi, Pengerusi Payung Jaafar Utsman berkata penjaja-penjaja bazar Ramadan masih tidak dapat 'catch up' dengan perniagaan atas talian.

"Buat masa ini, penjaja yang buat perniagaan melalui online dalam 10 peratus sahaja. Pendapatan kurang sangat. Kena sediakan juadah. Kena periksa pesanan. Kena uruskan pengangkutan dan sebagainya. Masih tidak dapat 'catch up'.

"COD (bayar tunai waktu terima) memang tidak ada perniagaan. Kalau macam syarikat atas talian besar berbeza. Kami golongan kurang senang. Perniagaan harian. Kena sediakan juadah untuk tiap-tiap hari. Tak boleh buat stok. Baki yang tidak jual tidak boleh simpan untuk esok," katanya.

Untuk rekod, bazar Ramadan dan pasar malam merupakan antara beberapa aktiviti perniagaan masih dilarang untuk beroperasi di bawah PKPB yang bermula semalam.

"Bantuan BPN (Bantuan Prihatin Nasional) yang dijanji ada yang dapat, ada yang tidak dapat. Bantuan khas 'one-off' RM500 yang dijanji Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu untuk 4,000 penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan masih tidak diterima.

"Jadi, macam mana nak bertahan? Harap kerajaan negeri memberi kelonggaran kepada penjaja Bazar Ramadan. Kalau beri 10 hari berniaga pun sudah memadai.

"Kami sedia bincang pihak berkuasa tempatan mematuhi syarat dan SOP yang ditetapkan," katanya.