Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pub, restoran jual arak tidak dibenar beroperasi - Annuar Musa

Pub dan restoran yang menjual minuman keras tidak dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata pihaknya mendapat aduan daripada warga kota bukan Islam bahawa terdapat pub dan restoran menjual minuman keras beroperasi semalam di sekitar ibu kota.

"Pelanggan-pelanggan juga didapati tidak mengamalkan jarakan sosial ketika berada di pub-pub itu.

"Saya ingin membuat penjelasan di sini bahawa pub bukan restoran, kalau restoran bersama dengan pub, ia tidak dianggap sebagai restoran.

"Walaupun mereka ada hidang makanan, ia tetap masuk dalam senarai seperti pusat karaoke atau pusat hiburan dan belum boleh beroperasi ketika ini," katanya ketika siaran langsung Facebook di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menjalankan pemeriksaan ke atas 91 premis perniagaan di sekitar ibu negara berhubung tahap pematuhan PKPB, semalam.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 36 premis tidak mengamalkan jarak sosial sepanjang satu meter dalam kalangan pelanggan mereka, 48 premis tiada penanda jarak sosial serta 28 premis tiada pensanitasi tangan," katanya.

Annuar berkata semua premis perniagaan diarah supaya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti yang termaktub dalam Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Walaupun sekarang sudah memasuki PKPB, namun akta itu masih lagi terpakai, kepada mereka yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan mereka boleh dibawa ke mahkamah, didenda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya," katanya.

Sementara itu, katanya pihaknya tidak akan berkompromi dalam menarik balik lesen dan menyenaraihitamkan peniaga atau penjaja yang didapati menjual atau meminjam lesen perniagaan DBKL kepada warga asing.

"Saya ingin mengingatkan bahawa warga asing yang ada kategori visa lawatan, tiada dokumen sah, tinggal lebih masa, pemegang kad UNHCR (Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian), kesemua itu tidak layak mereka untuk bekerja, apa lagi untuk memiliki perniagaan di sini.

"Jadi, jika peniaga atau pemegang lesen DBKL didapati berbuat demikian, kami tidak akan teragak-agak untuk membatalkan lesen mereka dan meletakkan mereka dalam senarai hitam," katanya.

- Bernama