Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

MPKK diarah tamatkan perkhidmatan dengan Afif

Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Seberang Jaya, Pulau Pinang telah diarahkan agar tidak lagi berhubung dengan adun kawasan itu, Dr Afif Bahardin.

Perkara itu dinyatakan dalam surat Timbalan Ketua Menteri I Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman kepada MPKK pada 4 Mei, yang turut merujuk penggantungan Afif daripada PKR.

Afif digantung pada 14 April lalu. Beliau dikenali sebagai antara pemimpin PKR yang menyokong bekas timbalan presiden Azmin Ali, yang merupakan individu utama dalam 'langkah Sheraton' pada Februari lalu.

"Ekoran penggantungannya daripada PKR, MPKK telah menamatkan perkhidmatannya dengan Dr Afif.

"Semua perkhidmatan berkaitan MPKK di Seberang Jaya akan dirujuk kepada Anggota Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, yang juga ketua cabang," kata Zakiyuddin dalam surat itu.

Arahan itu berkuat kuasa 4 Mei, iaitu emalam.

Zakiyuddin yang juga adun Pinang Tunggal dari PKR bertanggjuawab memantau MPKK.

Zakiyuddin Abdul Rahman

Selain Nurul Izzah, surat itu turut dihantar kepada Pegawai Daerah Seberang Perai Pusat Kamarul Haizal Koderat dan Penolong Setiausaha Kanan (Pentadbiran Am dan Keselamatan) Setiausaha Kerajaan Negeri.

Afif, yang meletakkan jawatan sebagai exco kesihatan Pulau Pinang, enggan mengulas perkara itu.

Ketika dihubungi, Zakiyuddin berkata Afif tetap mampu menjalankan tugas sebagai wakil rakyat walaupun dengan perkembangan itu.

"Hanya perkhidmatan MPKK ditamatkan...Afif tetap seorang wakil rakyat dan mendapat hak dan manfaat sebagai wakil rakyat," katanya, sambil membangkitkan setiap adun menerima peruntukan bulanan dan pusat khidmat.

Ditanya sama ada mesyuarat majlis kerajaan negeri yang dipengerusikan Ketua Menteri Chow Kon Yeow telah meluluskan keputusan itu, Zakiyuddin berkata protokol terpakai kepada semua adun pembangkang.

"Jika tindakan berbeza, baru saya perlukan keputusan exco," katanya.

Sementara itu, Pengerusi PKR Pulau Pinang Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata surat tersebut dihantar kepada MPKK dan bukannya Afif.

"Surat daripada lembaga disiplin (PKR) menyatakan dia tidak lagi mewakili parti," katanya yang juga anggota parlimen Balik Pulau.