Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pemimpin dunia ikrar sumbang AS$8b lawan Covid-19, AS tak turut serta

GLOBAL | Sejumlah pemimpin dan pertubuhan dunia semalam menjanjikan sumbangan berjumlah AS$8 bilion bagi tujuan penyelidikan, pembuatan dan pengedaran vaksin dan rawatan Covid-19, bagaimanapun Amerika Syarikat (AS) enggan turut serta dalam usaha itu.

Antara yang terlibat termasuk Kesatuan Eropah (EU) dan negara bukan EU seperti Britain, Norway dan Arab Saudi. Pemimpin dari Jepun, Kanada, Afrika Selatan dan sejumlah negara lagi turut menyertai acara maya itu, sementara China, di mana virus itu dipercayai bermula, hanya diwakili dutanya ke EU.

Kerajaan-kerajaan berhasrat untuk terus mengumpulkan dana selama beberapa minggu atau bulan, bagi usaha yang dibina Bank Dunia, Yayasan Bill & Melinda Gates dan jutawan lain, dan melangkah daripada respons tidak teratur di peringkat awal.

"Hanya dalam tempoh beberapa jam, kami secara kolektif telah mengmpul 7.4 bilion euro (AS$8.1 bilion) untuk vaksin, diagnostik dan rawatan terhadap Covid-19," kata Presiden EU Ursula von der Leyen setelah mempengerusikan persidangan dalam talian itu.

“Ia akan membantu memulakan kerjasama global yang belum pernah terjadi sebelum ini," katanya lagi.

Bagaimanapun tidak jelas apakah bentuk dana baru itu, memandangkan komitmen yang dibuat awal tahun ini mungkin turut disertakan, kata pegawai EU.

Penderma termasuk penyanyi pop Madonna yang menjanjikan 1 juta euro, kata von der Leyen.

Perdana Menteri Britain Boris Johnson, yang telah pulih daripada jangkitan Covid-19, berkata pencarian vaksin adalah "usaha bersama paling mendesak sepanjang hayat kita," dan menggesa suatu "perisai yang tak dapat ditembusi bagi melindungi orang ramai".

Pegawai diplomat EU berkata Amerika Syarikat, yang mempunyai kes Covid-19 tertinggi di dunia, tidak mengambil bahagian dalam usaha itu.

Seorang pegawai kanan pentadbiran AS enggan menyatakan secara khusus sebab Amerika Syarikat tidak turut serta.

"Kami menyokong usaha oleh EU ini. Ia adalah satu daripada banyak ikrar (pledging) yang sedang berjalan dan Amerika Syarikat berada di barisan depan," kata pegawai itu dalam perbualan telefon dengan pemberita.

Pada bulan lalu, Presiden Donald Trump berkata beliau akan menghentikan penyaluran dana kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Perdana Menteri Norway Erna Solberg berkata beliau kesal dengan langkah itu, serta ketiadaan AS dalam acara semalam.

“Sayang sekali AS bukan sebahagian daripada usaha ini. Ketika anda dalam krisis, anda menguruskannya dan anda melakukannya bersama-sama dengan yang lain,” kata Solberg kepada Reuters.

Beliau menjanjikan AS $1 bilion bagi pengedaran vaksin yang dibangunkan untuk merawat Covid-19, dan juga vaksin untuk penyakit lain.

"Kami telah mengadakan beberapa perbincangan dengan rakan AS dan saya yakin warga negara itu akhirnya akan memberi komitmen terhadap dinamika ini kerana ia adalah langkah ke hadapan untuk dunia," kata Presiden Perancis Emmanuel Macron.

-Reuters

[Baca berita asal]