Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Ingkar PKP: Anak Zahid Hamidi, suami didenda RM800

Anak presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Nurulhidayah dikenakan hukuman denda sebanyak RM800 selepas didapati bersalah melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 20 April lalu.

Suaminya, Saiful Nizam Mohd Yusoff turut dikenakan denda sama atas kesalahan itu.

Keputusan itu dibuat Majistret Shah Wirah Abdul Halim selepas Nurulhidayah dan Saiful Nizam mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan serentak oleh jurubahasa mahkamah.

Pasangan itu didakwa melanggar Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Menurut kertas pertuduhan yang dibaca, Nurulhidayah dan suami didakwa melakukan kesalahan itu pada jam sembilan pagi 20 April apabila bergerak dari Kajang menuju ke Jabatan Alam Sekitar, Putrajaya yang merupakan tempat dalam kawasan tempatan jangkitan di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020.

Oleh itu mereka dituduh melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 11 peraturan yang sama.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Nurashikin Mokhtar memohon agar kedua-dua tertuduh dikenakan denda maksimum RM1,000.

Peguam mereka, Ahmad Zaidi Zainal pula berhujah bahawa pertemuan itu dibuat atas jemputan Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Ahmad Masrizal Muhammad.

Bagaimanapun tiada sebarang kenyataan direkodkan oleh kedua-dua tertuduh.

Nurulhidayah ketika diserbu wartawan selepas prosiding hanya mengucapkan terima kasih dan melambai kepada wartawan.

Majistret tidak membenarkan media masuk ke kamar perbicaraan ketika prosiding berlangsung.

Pada 20 April lalu, beliau memuat naik gambar pertemuan mereka dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad dan Timbalan Menteri Alam Sekitar Masrizal Muhammad di Instagram, yang mengundang kriitikan kerana didakwa melanggar PKP.

Polis kemudian memaklumkan pihaknya telah membuka kertas siasatan terhadap Nurulhidayah dan Saiful Nizam dan mereka disiasat menigikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan - atas perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang mengancam nyawa - dan Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 - kerana melakukan pergerakan tanpa kebenaran.