Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Amanah: Sampai bila Kelantan mahu simpan baki RM400j?

Amanah Kelantan hari ini mempersoalkan mengapa kerajaan negeri masih enggan membelanjakan wang bantuan Pusat sebanyak RM400 juta untuk dimanfaatkan sebagai bantuan kepada rakyat yang terjejas sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Naib Pengerusi Amanah Kelantan Rushdan Mustafa berkata sampai bilakah wang one-off yang diberikan oleh kerajaan persekutuan semasa era Pakatan Harapan (PH) memerintah itu mahu disimpan sedangkan ada ramai rakyat memerlukan bantuan khususnya pada Ramadan ini.

"Bukankah Kelantan menguar-uarkan slogan merakyatkan Membangun Bersama Islam? Sudah tiadakah rakyat untuk dibangunkan dan diberi bantuan kebajikan sesuai dengan roh Ramadan sebagaimana ajaran Islam yang kita anuti ini?" soalnya dalam kenyataan kepada Malaysiakini, di Kota Bharu, hari ini.

Untuk rekod, pada Dis 2019 lalu, Kelantan menerima peruntukan bantuan kewangan one-off berjumlah RM400 juta sebagai pemberian daripada kerajaan persekutuan yang ketika itu ditadbir PH.

Dua bulan kemudian, Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob mengumumkan penggunaan peruntukan itu yang dianggarkan sebanyak RM52.5 juta.

Antaranya bagi membiayai projek pembinaan dan membaik pulih rumah dhuafaat (golongan daif), projek pembaikan jalan kampung serta projek pemulihan bekalan air bersih.

Justeru Rushdan berkata difahamkan ada baki RM 347.50 juta daripada peruntukan itu dan merupakan angka yang besar.

Harap terima bantuan

Menurutnya, apabila Covid-19 melanda negara, Kelantan turut menerima kesannya.

"Kerajaan persekutuan yang kini ditadbir oleh Perikatan Nasional hasil gerakan 'pintu belakang' menguatkuasakan PKP yang menyebabkan sebilangan besar rakyat Kelantan kehilangan sumber pendapatan.

"Mereka tidak dapat keluar bekerja mencari nafkah untuk menyara diri dan keluarga," katanya.

Pada masa sama pula, menurut Rushdan, kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM29 juta dengan semua penjawat awam menerima RM500 seorang, petugas barisan depan (RM300 seorang) dan lantikan politik (RM250).

Untuk rakyat terbanyak pula, katanya, masih tidak ada sebarang bantuan diumumkan setakat ini.

"Kita juga tidak dimaklumkan jumlah RM29 juta tu diambil daripada sumber mana, sama ada dari one-off RM400 juta atau sumber lain kewangan negeri," dakwanya.

Tambah ketua Amanah kawasan Pasir Mas itu, selepas hampir dua bulan PKP dikuatkuasakan dan kini berada di bulan Ramadan, rakyat berharap mereka mendapat sedikit sebanyak bantuan kerajaan menerusi baki one-off RM400 juta daripada PH dulu.

Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob

Malangnya, kata Rushdan, harapan itu masih kekal menjadi harapan.

"Ke mana dan di mana sebenarnya wang RM400 juta itu pergi? Sedangkan jika dilihat dari senarai jumlah penggunaan wang, tidak sampai satu pertiga pun sudah digunakan.

"Kalau betul ia digunakan sekalipun seperti didakwa, entah rumah dhuafaat mana yang dibina, entah jalan kampung mana yang sudah berturap atau dibaiki dan entah paip air baru mana yang sudah berfungsi.

"Dengan bahasa lebih mudah, sehingga kini rakyat Kelantan tertunggu-tunggu ke manakah sejumlah wang bernilai RM400 juta sebenarnya dibelanjakan?

"Majoriti rakyat Kelantan yang merupakan golongan petani, pekebun, penoreh, nelayan, peniaga dan golongan fakir miskin kurang upaya, masih ternanti nanti apakah bentuk bantuan yang bakal diberikan. Golongan inilah yang paling terjejas sepanjang PKP dilaksanakan," katanya.

Menurut Rushdan lagi, selain itu ada juga rakyat Kelantan yang diberhentikan kerja oleh majikan masing-masing.

"Nasib mereka yang dirundung malang itu seakan tidak dipedulikan," kata Rushdan sambil menolak kemungkinan peruntukan RM400 juta itu sudah habis dibelanjakan oleh kerajaan negeri.

"Tak mungkin RM400 juta itu sudah habis dibelanjakan, kerana pembelian kereta Mercedes Benz berbelas buah untuk exco dinyatakan bukan menggunakan wang tersebut.

"Masalah air bersih pula masih belum pulih sepenuhnya. Masalah kebersihan dari sampah sarap dan saluran longkang juga masih tiada jawapan yang tepat.

"Adakah baki daripada RM400 juta ini akan digunakan sepenuhnya untuk umpan pilihan raya umum ke-15 yang kian hampir? Kalau itulah yang berlaku, sesuailah slogan Kelantan menerajui perubahan. Perubahan yang mengundur ke belakang," katannya.

Sebagai rekod sebelum ini Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob mengumumkan peruntukan awal sebanyak RM675,000 kepada golongan fakir miskin sepanjang tempoh PKP. 

Selain itu peruntukan RM5 juta juga disediakan sebagai bantuan kepada rakyat yang terkesan dengan wabak Covid-19 termasuk bantuan RM300 kepada mereka yang dikuarantin.